
KOTA KINABALU – Sabah terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan industri apabila syarikat tempatan, KTC Consolidated Berhad, memulakan pembinaan hab logistik dan gudang bernilai RM150 juta di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh kira-kira satu setengah tahun dan bakal menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
“Manfaat projek itu bukan sahaja tertumpu kepada peluang pekerjaan, malah dijangka memberi limpahan ekonomi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menerusi penyertaan dalam rantaian bekalan serta perkhidmatan sokongan industri.
“Pembangunan hab logistik tersebut turut mencerminkan perkembangan positif sektor perindustrian Sabah yang kini semakin berkembang hasil keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap potensi ekonomi negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan media, di sini pada Selasa.
Tambahnya, pelaburan berimpak besar itu membuktikan syarikat tempatan Sabah kini mampu berkembang sebagai pemain utama industri serta menjadi pemacu baharu pembangunan ekonomi negeri.
“KTC yang tersenarai di Bursa Malaysia dan terus melabur di Sabah menunjukkan kerajaan negeri memberi keutamaan kepada syarikat tempatan yang mempunyai kredibiliti serta kemampuan untuk mengembangkan sektor perindustrian negeri.

“Kejayaan KTC pada hari ini menunjukkan bahawa syarikat tempatan Sabah juga mampu berkembang sebagai syarikat besar dan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri,” kongsinya.
Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan & Pengangkutan berkata, kementeriannya akan terus menyediakan sokongan, khidmat nasihat serta fasilitasi kepada pelabur tempatan dan asing bagi memudah cara proses pelaburan di Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon turut berkongsi hasil misi perdagangan Sabah ke China minggu lalu yang memperlihatkan minat tinggi syarikat antarabangsa untuk menjadikan Sabah sebagai hab pembangunan industri di rantau Asia Tenggara.
“Antara hasil utama misi ialah pemeteraian perjanjian awal antara KTC dan syarikat automotif China, Dongfeng Motor, melibatkan nilai kira-kira RM30 juta.
“Kerjasama tersebut termasuk cadangan pembinaan kilang pemasangan sebanyak 200 kenderaan di Sabah, sekali gus membuktikan pelabur luar masih yakin terhadap potensi ekonomi negeri walaupun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi global,” jelasnya.
Ewon turut optimis rancangan kerajaan negeri membuka tiga lagi taman perindustrian baharu di Kota Belud, Beaufort dan Kudat akan menarik lebih banyak pelaburan asing serta menjadikan Sabah antara destinasi pelaburan utama di negara ini.


