
MODUL sekolah agama di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terus diperkasa selari dengan perkembangan dan keperluan terkini yang berpandukan al-Quran.
Buktinya, sebanyak 23 sekolah agama di bawah JAIS dikenal pasti sebagai perintis bagi penerapan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berasaskan al-Quran.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia melibatkan Sekolah Agama Menengah (SAM) dan Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) mulai tahun ini, yang akan memberi nilai tambah pemahaman pelajar terhadap ilmu STEM berpandukan ajaran al-Quran.
Beliau menjelaskan, ia bakal dimulakan dengan latihan kepada guru-guru, disamping pembangunan dan penilaian modul bersesuaian sekali gus memperluaskan pemahaman pelajar terhadap ilmu itu dari sudut Islam.
“Kita ada 23 sekolah menengah agama di bawah Jais dan 23 itu kita akan cuba terapkan dengan pendekatan STEM, dengan kita cetak al-Qurannya dan kita buat latihan.
“Kita tumpu dekat sekolah Jais, lihat impak dan kesannya dulu, kalau kesannya baik lepas ini kita akan cuba tambah baik, dan cadangkan kepada guru-guru agama masukkan elemen STEM dan boleh perkasa pemahaman pelajar.
“Sains teknologi ini, kalau kita faham daripada sudut aplikasi bagus, faham tentang ilmu, formula, pun bagus, tapi kalau faham juga susur galurnya termasuk apa yang terkandung dalam al-Quran lebih baik, akan jadi lebih sempurna dan lebih dihayati oleh pelajar,” katanya.
Amirudin berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup Penutup Festival Antarabangsa Seni Al-Quran Restu 2025 dan pelancaran STEM Dalam Al-Quran peringkat Selangor di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor di Shah Alam, pada Sabtu.
Menurutnya, perbincangan lanjut juga akan dilakukan dengan Kementerian Pendidikan antaranya bagi memasukkan silibus STEM berasaskan al-Quran dalam pengajaran di sekolah terbabit sekali gus menambah baik program sedia ada di bawah kelolaan Kerajaan Negeri.
“Di Selangor kita ada lima Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Selangor (MITS), dan inisiatif ini selaras dengan hasrat yang telah diumumkan sebelum ini di mana kita ingin melahirkan penghafal al-Quran yang mahir dan fasih dalam bidang STEM,” katanya.