
IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diarah melakukan siasatan lanjut dakwaan seorang khatib di Parit Buntar, Perak membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan pihak berkuasa agama negeri lain.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindakan itu sepatutnya tidak berlaku kerana setiap teks khutbah Jumaat telah disiapkan lebih awal iaitu sebulan atau dua bulan sebelum ia diterbitkan untuk edaran.
Malah ujarnya, tindakan membaca teks khutbah dari negeri lain juga perlu dirujuk kepada JAIPk terlebih dahulu sama ada ia melanggar mana-mana peruntukan atau sebaliknya.
Khatib berkenaan dikatakan membaca teks khutbah dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP) pada Jumaat.
“There might be something wrong somewhere (mesti ada yang tidak kena)… kalau ada mana-mana masjid atau khatib membaca khutbah di luar daripada teks khutbah disediakan.
“Saya percaya JAIPk akan menyiasat hal ini bagi memastikan ia benar atau tidak.
“Seharusnya tidak ada masalah teks khutbah itu untuk dibacakan, kerana memang ada arahan daripada JAIPk agar semua masjid di Perak membacakan teks yang telah disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Pemerkasaan Masyarakat Madani Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) peringkat negeri Perak 2025 di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim memuat naik hantaran di Facebook mengenai seorang khatib di Parit Buntar dikatakan membaca teks Khutbah Jumaat disediakan JAIPP.
Teks khutbah Jumaat di Perak dikeluarkan JAIPk untuk dibacakan di semua masjid bertajuk ‘Keburukan Fitnah: Pengajaran Dari Peristiwa Al-Ifki’ yang menyenaraikan lima pengajaran daripada peristiwa al-Ifki, antaranya keburukan fitnah dan pentingnya menyelidiki maklumat yang diterima serta sabar dan tawakal ketika menghadapi fitnah.
Bahkan, teks bertarikh 31 Januari itu turut mencetuskan polemik apabila Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Perak, Muhammad Rif’aat Razman mempersoal pemilihan tajuk khutbah yang didakwanya seakan menyinggung bapanya yang juga Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.
Manakala JAIPk pula menerusi hantaran Facebook menafikan dakwaan kononnya ia ditujukan untuk menyinggung individu tertentu.
Dalam pada itu, Saarani menegaskan, teks khutbah Jumaat pada minggu ini tidak merujuk kepada mana-mana individu, sebaliknya ia bersifat umum selain mahu memperingati masyarakat Islam tentang bahaya fitnah.
“Teks itu bersifat umum, dan bukan kali pertama kita dengar khutbah Jumaat yang menyentuh soal fitnah.
“Jadi sepatutnya tidak menjadi masalah, kecuali jika ada yang seperti termakan cili kerana terasa pedas,” jelasnya.