
PUTRAJAYA – Arahan supaya penyedia perkhidmatan Internet (ISP) mengalihkan trafik perkhidmatan nama domain (DNS) menggunakan pelayan DNS pihak ketiga kembali ke pelayan DNS sendiri menimbulkan kerisauan sesetengah pihak terutamanya laman web anti kerajaan.
Menerusi hantaran di laman X, akaun @pendakwahtekno menjelaskan perkara itu tidak ada dalam senarai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan sekiranya masih terdapat sekatan, pengguna boleh menggunakan saluran undang sewajarnya.
“Untuk pengguna biasa terutamanya yang ada anak, ini langkah yang sangat baik supaya anak kita tak boleh tengok ‘website’ bukan-bukan.
“Untuk sesetengah pihak, mereka risau kalau satu hari nanti MCMC sekat pula laman web yang anti kerajaan. Cumanya, sehingga hari ni, mengikut senarai MCMC tu, perkara ini tak berlaku.
“Tapi apa jadi kalau ini berlaku jugak? Untuk pastikan kerajaan dan MCMC tak salah guna kuasa, mana-mana website yang tak langgar undang-undang tapi disekat, website boleh ‘appeal’ pada MCMC.
“Kalau masih disekat, website tu boleh cabar kerajaan di Tribunal dan Mahkamah,” katanya di X pada Sabtu.
Laman web yang disekat adalah 70 peratus yang mempunyai kandungan judi dan lucah, 14 peratus kandungan curi hakcipta, dua peratus kandungan pelacuran, dua peratus dan 12 peratus lain-lain termasuk jual data peribadi, pinjaman tidak sah, penjualan produk tak berdaftar.
Sementara itu, seorang warga maya @sureshdr berkata, walaupun hakikatnya tak dapat disekat sepenuhnya kerana terdapat banyak cara untuk lari dari sekatan namun tindakan itu sudah memadai untuk orang awam.
“Hakikatnya memang tak boleh block. Sama dengan orang yang lari roadblock. Banyak cara, tapi untuk rakyat umum memang sudah memadai,” tulisnya.
DNS ialah sistem yang direka bentuk untuk menukar alamat laman web kepada alamat IP berangka bagi mencari laman web di Internet.
ISP lazimnya mengendalikan pelayan DNS mereka sendiri yang boleh dikonfigurasikan untuk menyekat akses ke laman web atau domain tertentu berdasarkan kandungannya, iaitu kaedah biasa digunakan untuk melindungi pengguna daripada kandungan berbahaya.
Pada Jumaat, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata Kerajaan tidak menyekat kebebasan bersuara apabila mewajibkan semua penyedia perkhidmatan internet (ISP) menggunakan pengalihan perkhidmatan nama domain awam (DNS) menjelang akhir bulan ini.
Rasional sekatan itu dibuat untuk menghalang akses ke laman web berbahaya terutama melibatkan pornografi dan perjudian dalam talian.