
PUTRAJAYA- Seorang individu dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi merakam keterangan selepas disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan kira-kira 329,000 tong bahan api diesel kepada Filipina.
MCMC menerusi kenyataan berkata, pihak berkuasa sudah mengesahkan diesel berkenaan bukan milik Petronas atau kerajaan Malaysia namun milik syarikat perdagangan Vitol.
Menurut beliau, peranti komunikasi dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan.
“Setakat semalam, sebanyak 47 kertas siasatan sudah dibuka membabitkan penyebaran berita palsu mengenai krisis tenaga global di platform media sosial dan media digital susulan konflik di Asia Barat. Semua kes sedang dalam siasatan lanjut.
“Antara kandungan palsu yang tular termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api jauh melebihi pengumuman sebenar, tarif elektrik naik, kapal Malaysia di Selat Hormuz membayar tol kepada Iran.
“Pada masa sama, kandungan palsu yang didakwa termasuk pemberian subsidi BUDI95 kepada warga Singapura dan penghantaran 329,000 tong diesel syarikat Vitol ke Filipina yang didakwa milik Malaysia,” katanya, pada Rabu.
Kenyataan itu berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.





