
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilihat bersikap matang apabila mengambil pendekatan untuk tidak menghina Pas, selepas musuh politik menggelarkan partinya ‘lebih dajal daripada dajal’.
Mohamad berkata, stigma melampau seperti yang dicipta Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak perlu dibahaskan demi mengelakkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.
“Kami pun boleh panggil seseorang itu dajal tapi kami tidak sebegitu kerana kita tidak mahu perpecahan di kalangan rakyat Malaysia khususnya kaum melayu bertambah lagi.
“Jadi saya mengambil sikap orang nak kata apa pun, katalah. Pahala Allah yang kirimkan kemudian.
“Dia (Abdul Hadi) punya penafsiran Al-Quran dia begitu, biarlah. Saya tidak dapat nak sanggah sebab saya tidak sealim beliau,” katanya kepada media ketika ditemui di Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Sebelum ini, Abdul Hadi melalui tulisannya dalam Minda Presiden Pas bertajuk ‘Politik, Bohong dan Kebendaan Tetap Menjadi Pilihan UMNO-Pakatan Harapan (PH)’ mendakwa kerajaan di bawah pemerintahan UMNO dan PH adalah ‘dajal’.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa UMNO sudah rosak bersama PH meneruskan prinsip dan konsep kebendaan menjadi agenda yang utama bagi menegakkan serta mempertahankan kerajaannya.
Jelasnya, kerajaan membeli rakyat dengan wang dan kebendaan supaya dapat meraih sokongan dan pada masa sama menindas pembangkang dengan menafikan peruntukan kewangan yang diwajibkan mengikut agama serta amalan demokrasi.
Abdul Hadi turut mendakwa, politik Dajal turut digunakan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Terdahulu, Majlis Ulama UMNO Malaysia (MUU) mengeluakran kenyataan bahawa tuduhan tersebut akan mengulangi siri pertembungan kedua-dua parti seperti awal tahun 80-an yang telah merosakkan persaudaraan Islam selama puluhan tahun.