
KUCHING – Sarawak menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengesahkan hak Sabah terhadap tuntutan 40 peratus hasil bersih serta semakan geran khas, namun menegaskan bahawa peruntukan berkenaan tidak terpakai kepada negeri ini kerana tiada peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri dan Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, peruntukan 40 peratus itu adalah hak khusus Sabah berdasarkan perlembagaan, manakala Sarawak tidak mempunyai peruntukan sedemikian.
“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Katibas, terdapat peruntukan jelas mengenai hak 40 peratus untuk Sabah, tetapi tiada peruntukan sedemikian bagi Sarawak. Namun, kedua-dua negeri dijamin menjalani semakan kewangan setiap lima tahun di bawah Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Katibas Lidam Assam di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.
Menurutnya, meskipun keputusan itu khusus kepada Sabah, prinsip undang-undang yang digariskan oleh mahkamah adalah signifikan kerana ia menegaskan kewajipan Persekutuan untuk menunaikan tanggungjawab kewangan terhadap Sabah dan Sarawak.
Katanya, dapatan mahkamah juga mengukuhkan jangkaan bahawa semakan kewangan perlu dilakukan secara segera, telus dan berlandaskan prosedur yang betul.
“Sarawak berpendirian bahawa kadar Geran Khas perlu ditentukan berdasarkan formula yang adil, konsisten dan jelas,” katanya.
Beliau berkata keputusan mahkamah itu merupakan langkah penting ke arah memastikan keadilan dan akauntabiliti dalam pelaksanaan kewajipan kewangan Persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak.
“Sarawak akan terus tegas mempertahankan hak perlembagaannya dan meneruskan libat urus bersama Kerajaan Persekutuan mengikut kerangka MA63,” katanya.




