
KUCHING – Sarawak terus menjadi destinasi pelaburan pilihan apabila berjaya menarik komitmen bernilai RM105.9 bilion bagi tempoh 2021 hingga suku ketiga 2025 biarpun berdepan iklim ekonomi global yang tidak menentu.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, jumlah itu meliputi RM68.4 bilion atau 64.5 peratus pelaburan domestik, manakala RM37.5 bilion atau 35.5 peratus adalah pelaburan asing.
“Pelaburan yang diluluskan direkodkan dalam tiga sektor utama iaitu RM47.3 bilion dalam sektor primer, RM31.3 bilion sektor pembuatan dan RM27.3 bilion sektor perkhidmatan.
“Pelaburan ini turut berpotensi mewujudkan lebih 25,000 peluang pekerjaan, termasuk lebih 21,000 daripadanya dalam sektor pembuatan,” katanya ketika sesi penggulungan kementerian pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Beliau menjelaskan, sepanjang tempoh tersebut, pelaburan sektor pembuatan banyak tertumpu kepada industri Elektrikal dan Elektronik (E&E) serta industri kimia.
Beliau juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai itu menambah ekonomi negeri terus kukuh apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak meningkat daripada RM131.6 bilion pada 2021 kepada RM148.2 bilion pada 2024.
Sektor pembuatan sebagai penyumbang kedua terbesar katanya, mencatat prestasi berubah-ubah namun mencapai paras tertinggi pada 2022 dengan RM39.2 bilion sebelum menyederhana dan kembali meningkat kepada RM38.2 bilion pada 2024.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







