
SIBU – Usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat kini diberi suntikan baharu melalui pelbagai program berteraskan pendidikan kewangan, keselamatan digital dan pembentukan sahsiah anak-anak.
Ini bertujuan melahirkan komuniti yang bukan sahaja berilmu dan beretika tetapi juga berdaya tahan menghadapi cabaran semasa.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, antara kebimbangan utama ketika ini ialah peningkatan kes penyalahgunaan akaun bank atau ‘mule account’ oleh individu yang terpedaya dengan tawaran komisen lumayan.
Menurutnya, tindakan menyewakan akaun bank kepada pihak tidak bertanggungjawab bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh menjejaskan masa depan pemilik akaun.
“Walaupun dijanjikan imbuhan menarik, duit yang diperoleh bukanlah sumber halal. Akaun tersebut juga boleh disenarai hitam dan tidak lagi digunakan untuk urusan rasmi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Kesejahteraan dan Kesihatan Komuniti 2025 pada Jumaat.
Fatimah berkata, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) terus mempergiatkan kempen kesedaran pengurusan kewangan melalui siri ceramah dan bengkel bagi membantu rakyat merancang kewangan secara berhemah sejak awal usia.
Selain itu, kerajaan negeri turut memperkukuh jaringan sokongan sosial melalui Pusat Sokongan Sosial Komuniti (Community Social Support Centre) yang berfungsi sebagai pusat pelaksanaan aktiviti kesihatan fizikal, kesejahteraan mental serta sesi kaunseling dan motivasi untuk masyarakat setempat.
Beliau turut berkata, pemerkasaan wanita juga kekal sebagai agenda utama kementerian menerusi pelaksanaan prinsip Kepelbagaian, Kesamarataan, Ekuiti dan Inklusiviti (D2EI) serta peluang biasiswa di bawah Asean Human Leadership College bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa.
“Kesejahteraan masyarakat tidak akan tercapai tanpa kerjasama semua pihak. Gabungan kekuatan kerajaan, NGO dan komuniti amat penting untuk membentuk generasi muda yang berilmu, beretika dan tahu membezakan antara benar dan salah,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus; Setiausaha Tetap kementerian, Datu Felicia Tan Ya Hua dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Salmah Jobeli.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







