
KUCHING – Jawatankuasa bandar pintar akan diwujudkan yang berperanan dalam mewujudkan platform bagi semua agensi untuk saling berkolaborasi.
Selain itu, ia berperanan membantu melaksanakan inisiatif yang dirancang untuk Sarawak sebagai bandar pintar.
“Penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam membangunkan bandar pintar demi memenuhi keperluan semasa dan masa depan yang mampan,” kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Menurut beliau, selain membantu dalam menguruskan sumber dengan lebih cekap, jawatankuasa berkenaan juga diwujudkan bagi membantu dalam menyelesaikan isu pelaksanaan inisiatif bandar pintar dalam kalangan agensi yang terlibat sekali gus menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan.
“Jawatankuasa bandar pintar adalah platform untuk semua agensi yang kita akan bekerjasama. Kita akan saling berkongsi idea dan membantu supaya segala program yang dijalankan akan berjalan dengan lancar,”.
“Justeru, kita perlu mengguna pakai teknologi terkini sesuai dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 dan tujuh pemboleh ubah utama merangkumi transformasi digital, inovasi, pendidikan dan modal insan, infrastruktur asas, utiliti, pengangkutan serta tenaga boleh diperbaharui,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Bengkel Bandar Pintar Sarawak pagi tadi di Hotel Riverside di Kuching
Tambah beliau, kejayaan yang dikecapi Sarawak ketika ini merupakan usaha keras negeri tersebut sejak sekian lama.
Maka, kelebihan yang dimiliki Sarawak pada masa ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin bagi memastikan kesinambunganya dapat terus memberi kebaikan untuk semua rakyat.