
MIRI – Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Sarawak 2026 dilihat mampu membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat khususnya dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Menurut seorang pengunjung dari Kuching, Leslie Yong, 33, berkata, program berkenaan menjadi platform penting untuk menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang budaya, agama dan etnik bagi memupuk semangat kebersamaan serta mempererat hubungan silaturahim.
“Melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti persembahan kebudayaan, pameran, program komuniti dan sukan rakyat, masyarakat berpeluang mengenali adat resam serta budaya kaum lain sekali gus memupuk sikap hormat-menghormati dan toleransi”, katanya lagi.

Selain meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya perpaduan dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan negeri, sambutan itu turut menggalakkan penglibatan aktif komuniti termasuk golongan belia, pertubuhan masyarakat, agensi kerajaan dan sektor swasta.
Sarawak yang terkenal dengan kepelbagaian etnik seperti Melayu, Iban, Bidayuh, Melanau, Cina dan Orang Ulu menjadikan sambutan ini sebagai medium terbaik untuk mengetengahkan keunikan budaya serta warisan masyarakat tempatan.
Dalam masa sama, program tersebut turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat apabila kehadiran pengunjung membantu meningkatkan jualan peniaga kecil, usahawan tempatan dan pengusaha kraftangan.
Sementara itu, penyertaan golongan muda dalam program perpaduan juga diyakini mampu membentuk generasi yang lebih patriotik, bersatu padu dan menghargai keharmonian yang dinikmati rakyat di negara ini.
Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Sarawak 2026 bukan sahaja menjadi acara tahunan, malah berperanan sebagai wadah penting dalam memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.






