KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang mengangkat tema ‘Malaysia Madani :Jiwa Merdeka’ adalah satu suara yang ditonjolkan dengan kesetiaan kepada Malaysia sebagai mesej kepada tontonan umum.
Penganalisis politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, merdeka ke-67 sememangnya memerihalkan jiwa merdeka dengan kesungguhan menjadikan ia sesuatu yang berbeza daripada yang biasa.

“Setiap tahun sambutan hari Kebangsaan berbeza, mengikut tema dan suasana semasa. Sememangnya tidak dapat dielak daripada kritikan kerana bukan mudah nak memenuhi citrarasa 33 juta penduduk. Masing-masing melihat daripada lensa sendiri dan ada yang akan buat perincian tersendiri dan ini tidak salah kerana apa yang mahu dilihat adalah apa yang digemarinya.
“Walaupun begitu, majoriti merasakan ada kelainan dan keunikan yang diselaraskan dengan kesemua yang berpartisipasi.
“Pujian harus diberikan kepada yang bertungkus-lumus cuba menggarap idea dan pemikiran pencetus setiap adegan, lakonan dan nyanyian bersandarkan kepada imaginasi mereka.
“Ia sarat dengan bukan sahaja mempertontonkan aset negara tetapi mesej dan informasi di sebalik setiap babak yang dibawa sepanjang sambutan ini,” kata Sivamuragan kepada TMP pada Selasa.
Menurut beliau, kelainanannya ketara dengan diselarikan dengan ekosistem dan persekitaran hari ini.
“Semangat waja, dipenuhi dengan elemen jati diri, bersifat patriotik dan nasionalis dengan sendiri menjadikan sambutan ini berjiwa Malaysia.
“Semangat jiwa merdeka, dengan satu suara juga ditonjolkan dengan kesetiaan pada Malaysia sebagai mesej kepada tontonan umum.
“Merdeka 67 turut membawa hasrat tersirat dengan harapan baharu ke atas agensi yang terbabit,” katanya.
Sivamurugan juga mengemukakan saran sambutan merdeka akan datang boleh melengkapi perubahan dalam negara dengan pengiktirafan antarabangsa secara berterusan supaya rakyat mengimbas sejarah merdeka dan persejarahan yang penuh maksud dan makna supaya masing-masing tahu turut bertanggungjawab ke atas negara ini.
“Setiap fasa persejarahan perlu terus disemarakkan pada sambutan-sambutan akan datang agar generasi hari ini dan akan datang tahu pengorbanannya besar ke arah kebebasan dan kemerdekaan,” katanya.




