PUTRAJAYA – Biarpun dikelilingi cucu yang meminati pasukan bola sepak berlainan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal setia menyokong Manchester United.
Berkongsi mengenai perkara itu, Perdana Menteri berkata, setiap kali pasukan Liga Perdana Inggeris pilihannya itu tewas dalam perlawanan, beliau menjadi ‘bahan jenaka’ cucunya.
“Saya ini dari dahulu memang penyokong Manchester United, jadi cucu-cucu saya kata papa tok, you are ancient (anda kuno), the history is gone (ia sudah menjadi sejarah), saya kata tidak, saya tidak mahu tukar (sokongan kepada pasukan lain).
“Dia (cucu) sokong Arsenal, sebahagian kecilnya Liverpool, saya kata tidak, saya kata saya tidak akan bersama (mereka menyokong pasukan selain daripada Manchester United),” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Anwar berkata, apa yang ditonjolkan cucunya itu menunjukkan bahawa minat terhadap sukan – khususnya bola sepak – bersifat menyeluruh dan merentas generasi.
“Setiap kali cucu saya datang, dia kata Manchester United kalah lagi papa tok, hish… tak larat dengar,” katanya disambut ketawa hadirin.
Pada Ahad lalu, Manchester United mengalami kekalahan ketika menentang Liverpool dengan keputusan 0-3 di Old Trafford.
Dua gol daripada pemain sayap dari Colombia, Luis Diaz dan gol ketiga daripada penyerang dari Mesir, Mohamed Salah.




