BINTANG Liverpool, Mohamed Salah kini dilaporkan memberi ‘lampu hijau’ kepada ejennya untuk memulakan rundingan rasmi dengan kelab gergasi Arab Saudi, Al-Ittihad.
Salah sebelum ini sering dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Pro Saudi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, malah Al-Ittihad pernah mengemukakan bidaan sensasi bernilai ratusan juta pada tahun 2023.
Liverpool bagaimanapun menolak tawaran tersebut dan berjaya memujuk Salah menandatangani kontrak baharu sehingga 2027.
Namun, perselisihan faham dengan pengendali pasukan, Arne Slot pada awal musim ini menyebabkan masa depannya di Anfield kembali menjadi tanda tanya.
Difahamkan, Salah kini jauh lebih terbuka untuk menyertai Al-Ittihad berbanding 12 bulan lalu.
Juara Saudi itu mempunyai ruang kewangan kukuh selepas berpisah dengan Karim Benzema dalam satu perpindahan kontroversi, selain menjual N’Golo Kante pada Januari lalu.
Kontrak bekas pemain Liverpool, Fabinho pula bakal tamat pada Jun ini, manakala Moussa Diaby turut dikaitkan dengan kepulangan ke Eropah, sekali gus mengosongkan posisi sayap kanan yang menjadi ‘kegemaran’ Salah.
Musim ini menyaksikan prestasi Salah merosot apabila hanya meledak enam gol, rekod terendahnya sejak berhijrah ke Merseyside pada 2017.






