
Oleh: Tengku Majid
KUCHING: Rejimen 511 Askar Wataniah (AW) terus memperkukuh peranannya sebagai benteng pertahanan negara apabila meraikan Perbarisan Hari Ulang Tahun ke-46 dalam istiadat penuh ketenteraan di Padang Kawad Kem Ria pada Sabtu lalu.
Perbarisan tersebut diketuai Pegawai Memerintah Batalion 2 Rejimen 511 (AW), Leftenan Kolonel Abang Yusof Abang Halil, melibatkan pegawai dan anggota Lain-lain Pangkat (LLP) daripada pasukan tetap, sukarela serta staf awam Kementerian Pertahanan Sarawak.
Upacara berkenaan disempurnakan Komander Rejimen 511 (AW), Brigedier Jeneral Abang Mohamad Abang Marzuki yang diiringi Timbalannya, Leftenan Kolonel Khairul Azri Abdullah.
Dalam ucapannya, Abang Mohamad menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen dan dedikasi warga Rejimen sejak penubuhannya pada 7 Februari 1980.
“Perbarisan ini bukan sekadar tradisi, tetapi manifestasi disiplin tinggi dan kesiapsiagaan pasukan simpanan Tentera Darat Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan latihan berterusan selaras dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-31, dengan fokus kepada pemerkasaan elemen PAODKAL (Pemimpin, Anggota, Organisasi, Doktrin, Kewangan, Alat dan Latihan) bagi memastikan tahap keyakinan dan keupayaan anggota berada pada tahap optimum.
Menurutnya, anggota Askar Wataniah juga perlu sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa awam dalam misi bantuan bencana dan sokongan komuniti sebagai sebahagian daripada konsep pertahanan menyeluruh negara.
“Penghargaan turut dirakamkan kepada kerajaan Sarawak atas sokongan berterusan terhadap Rejimen 511 (AW)”, tambah Abang Mohamad.
Majlis turut menyaksikan upacara pemakaian pangkat kepada Pegawai Sukarela dan Pegawai Tidak Tauliah (PTT) Kanan tetap sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan perkhidmatan mereka.
Seiring ulang tahun ke-46, Rejimen 511 (AW) turut membuka peluang kepada anak jati Sarawak berusia 18 tahun ke atas yang sihat tubuh badan untuk menyertai pasukan sukarelawan tersebut.






