Sabah yakin terus nikmati keamanan, kejayaan di bawah TYT baharu

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah yakin negeri ini akan terus menikmati keamanan, kejayaan dan kemakmuran di bawah naungan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Musa Aman. 

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan keyakinan itu sempena Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.

“Saya mengajak seluruh pemimpin dan rakyat di negeri ini untuk saling bekerjasama, berganding bahu dan bersatu padu ke arah memacukan pembangunan negeri Sabah yang tercinta. 

“Sesungguhnya, Yang di-Pertua Negeri adalah payung bagi seluruh rakyat, simbol kedaulatan negeri yang bermaruah serta pengukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan budaya. 

“Justeru, institusi Yang di-Pertua Negeri yang amat dimuliakan ini, akan selamalamanya dijulang tinggi sebagai teras perpaduan rakyat jelata dan simbol kedaulatan bumi Sabah,” katanya. 

Hajiji turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan melafazkan ikrar taat setia kepada Tun Musa Aman, sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.

“Semoga TYT Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Tusin serta seluruh ahli keluarga yang tercinta, sentiasa berada di bawah lindungan dan limpahan rahmat Allah SWT, dengan nikmat keafiatan dan kesejahteraan yang berpanjangan,” katanya.

Tun Musa, 73, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah mengangkat sumpah jawatan TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11 itu bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin bermula hari ini (Rabu).

Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinannya juga akan terus berusaha dan berikhtiar untuk memajukan negeri Sabah demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

Hajiji turut berkongsi pelbagai inisiatif dan kejayaan yang dicapai kerajaan negeri sejak lebih empat tahun lalu khususnya usaha untuk memulihkan ekonomi negeri dan mensejahterakan rakyat menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Menerusi pelan pembangunan SMJ, kerajaan negeri berjaya meningkatkan nilai pelaburan di samping menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan. 

“Hasil negeri turut meningkat berkat tadbir urus kewangan negeri yang baik dan kita telah berjaya mengutip hasil hampir RM7 billion pada tahun 2024. 

“Kita akan meneruskan momentum ini untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang,” tambahnya. 

Menurut Hajiji, pencapaian menggalakkan itu adalah hasil kerja keras dan komitmen tinggi pimpinan kerajaan bersama-sama penjawat awam selaku penggerak jentera kerajaan.

Beliau berkata, di sudut yang lain, berkat kerjasama dan sinergi padu antara sektor awam dengan sektor swasta sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menghasilkan impak positif dalam pertumbuhan ekonomi negeri. 

Katanya, kemajuan dan kesejahteraan rakyat juga tetap menjadi agenda utama kerajaan yang akan dilaksana menerusi pelbagai bentuk program, inisiatif dan bantuan diberikan kepada kumpulan sasar, khususnya golongan miskin dan miskin tegar. 

Jelas Hajiji, golongan pelajar dan mereka yang berhasrat melanjutkan pelajaran serta pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi juga tidak diabaikan sebaliknya kerajaan menyediakan dana pembiayaan kos pengajian untuk mereka yang berkelayakan. 

“Kerajaan juga akan terus memastikan kelestarian khazanah alam, sentiasa memelihara nilai budaya dan adat resam seluruh kaum serta mengekalkan nilai perpaduan dan keharmonian yang sedia terjalin sejak turun temurun. 

“Aspek keselamatan dan ketenteraman awam, akan terus diutamakan, bagi memastikan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Related Posts

15 individu termasuk pelancong selamat, insiden perlanggaran bot di Semporna

SEMPORNA – 15 individu termasuk pelancong selamat selepas terlibat dalam insiden perlanggaran dua bot di kawasan perairan berhampiran Floating Resort dan Jeti Umum Semporna, pada Khamis. Pemangku Ketua Polis Daerah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
KPKT umum RM34.2 juta bagi 8 projek pembangunan Sandakan tahun 2025

SANDAKAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sejumlah RM34.2 juta bagi pelaksanaan lapan projek pembangunan utama di bandar Sandakan untuk tahun 2025. Ia meliputi bidang pengurusan sisa pepejal,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pembohongan Besar: Agenda politik dalam kes Anwar–Yusoff Rawther

Pembohongan Besar: Agenda politik dalam kes Anwar–Yusoff Rawther

15 individu termasuk pelancong selamat, insiden perlanggaran bot di Semporna

15 individu termasuk pelancong selamat, insiden perlanggaran bot di Semporna

KPKT umum RM34.2 juta bagi 8 projek pembangunan Sandakan tahun 2025

KPKT umum RM34.2 juta bagi 8 projek pembangunan Sandakan tahun 2025

AS gerak usaha ‘bawa’ Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

AS gerak usaha ‘bawa’ Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

RMK13 perlu fokus sektor agromakanan

RMK13 perlu fokus sektor agromakanan

DAP Sabah sokong tindakan SLS, tuntut hak 40% Sabah

DAP Sabah sokong tindakan SLS, tuntut hak 40% Sabah