
KOTA KINABALU – Sabah dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) yang akan diadakan Ogos tahun ini selepas kali terakhir pada 1995.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup, ia merupakan perkara yang amat menarik kerana dengan menjadi tuan rumah HPPNK sektor pertanian negeri akan mendapat manfaat.
“Satu perkembangan menarik pada tahun ini Sabah dipilih sebagai tuan rumah HPPNK.
“Ini merupakan kali pertama Sabah menjadi tuan rumah setelah kali terakhir menjadi tuan rumah pada tahun 1995, ini menjadi satu sejarah dan ia sangat penting.
“Saya akan memberi sasaran kepada KPKM di Sabah untuk buat yang terbaik supaya segala warga peladang, penternak dan juga nelayan di negeri Sabah dapat manfaat.
“Industri sektor pertanian kita juga dapat manfaat untuk meningkatkan lagi industri makanan, nelayan dan perikanan dan agromakanan kita di Sabah,” katanya dalam sedang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 bersama agensi KPKM di Sabah, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Arthur turut berkata, beliau berasa bangga dengan pencapaian yang diperoleh KPKM pada tahun lepas.
“Saya sebagai Timbalan Menteri khususnya yang berasal daripada Sabah merasa amat bangga atas segala pencapaian yang kita telah perolehi pada tahun lalu.
“Antaranya, seperti pembinaan dan juga menaik taraf lebih 40 buah pasar tamu di seluruh negeri Sabah.
“Kerja untuk membina 10 buah Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) seluruh negeri Sabah.
“Banyak lagi termasuk jualan agromadani yang telah sampai ke kawasan luar bandar khususnya di kawasan yang sangat terpencil untuk memastikan masyarakat di luar bandar tidak terkecuali daripada bantuan dan perhatian Kerajaan Persekutuan,” katanya.






