
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menyatakan pendirian tegas untuk mengamalkan toleransi sifar terhadap rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran integriti dalam pentadbiran kerajaan termasuk pemantauan ketat terhadap semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula tahun hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, isu integriti perlu diberi perhatian serius dan Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai berhubung pengukuhan tadbir urus serta akauntabiliti.
Beliau berkata, antara langkah utama yang dilaksanakan ialah arahan supaya semua Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurus Besar Kumpulan dan Pengurus Besar Badan Berkanun Negeri (BBN) serta GLC mengemukakan laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan secara terus kepada Ketua Menteri bermula tahun hadapan.
“Pelaporan berkala itu bertujuan memantau kemajuan projek, kedudukan kewangan, keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap agensi terlibat.
“Penempatan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri di Jabatan Ketua Menteri bagi memperkukuh pelaksanaan tadbir urus serta usaha antirasuah secara menyeluruh, termasuk pematuhan prinsip Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) dalam GLC,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi Penggulungan Mesyuarat Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang Ke-17, di sini, pada Rabu.
Tambahnya, semua GLC diarahkan menubuhkan Unit Integriti dan Governans Negeri Sabah (IGU) sebagai entiti bebas yang melaksanakan empat fungsi teras iaitu pengurusan aduan, pematuhan, tadbir urus dan integriti yang dipantau oleh Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah melalui mesyuarat pemantauan dua kali setahun serta pelaporan kepada SPRM.
“Program pengukuhan integriti khusus kepada peneraju GLC turut dirancang sepanjang tahun 2026 bagi memastikan amalan pentadbiran yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti dapat dibudayakan secara berterusan,” ujarnya.







