
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah terus membuktikan komitmen padu dalam memperkasa usahawan tempatan apabila memperuntukkan RM15 juta bagi meneruskan Program Bantuan SME-UP pada tahun 2026.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif itu merupakan satu langkah strategik yang disifatkan sebagai suntikan penting untuk merancakkan pertumbuhan serta memenuhi keperluan sebenar IKS Sabah.
“Kementerian iakan menambah baik keberkesanan program tersebut dengan menekankan penilaian teknikal yang lebih teliti, pembangunan kapasiti usahawan serta pemantauan impak yang menyeluruh bagi memastikan bantuan mesin dan peralatan yang disalurkan benar-benar mampu meningkatkan produktiviti IKS secara signifikan.
“Kerjasama strategik dengan Pasaraya Bataras dan Petronas Dagangan Berhad akan diteruskan pada tahun 2026, selepas mencatatkan pencapaian memberangsangkan sehingga November 2025, dengan jualan sebanyak RM885,000 melalui Pasaraya Bataras dan RM2.91 juta menerusi Petronas Dagangan Berhad.
“Berdasarkan prestasi positif ini, kementerian bercadang untuk memperluaskan kerjasama strategik dengan Pasaraya Aeon bagi membuka akses pasaran yang lebih luas ke Semenanjung Malaysia untuk produk usahawan IKS Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Pengulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-17, di sini, pada Rabu.
Menurut Ewon, pembangunan IKS kekal sebagai keutamaan Kementeriannya selaras dengan agenda memperkukuh rantaian industri tempatan dan meningkatkan daya saing produk buatan Sabah di pasaran domestik serta antarabangsa.
“Di Kementerian, saya akan meneruskan ‘Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah’ bagi tahun 2026 menerusi penganjuran Karnival Usahawan PMKS di beberapa daerah terpilih bertujuan meneroka peluang pasaran baharu, meningkatkan hasil jualan usahawan, melaksanakan padanan perniagaan bersama pasar raya tempatan serta memperkenalkan produk IKS kepada masyarakat dari dalam dan luar negeri Sabah.
“Bagi tahun 2025, padanan perniagaan bersama pasar raya tempatan telah merekodkan nilai RM2.9 juta, manakala hasil jualan kaunter mencecah RM92,500, membuktikan keberkesanan inisiatif ini dalam meningkatkan akses pasaran usahawan tempatan,” ujarnya.







