
KUCHING – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 yang disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh jaminan makanan serta mengurangkan kebergantungan negeri terhadap import beras.
Menurut beliau, isu jaminan makanan kini bukan lagi sekadar berkaitan sektor pertanian semata-mata, malah turut melibatkan aspek ekonomi, strategik dan kelangsungan hidup rakyat.
Beliau berkata, tahap sara diri beras Sarawak ketika ini hanya sekitar 21 peratus, sekali gus menyebabkan negeri masih bergantung hampir 80 peratus kepada import beras dari luar.
“Keadaan ini mendedahkan Sarawak kepada risiko kenaikan harga global, sekatan eksport negara pengeluar, peningkatan kos penghantaran serta gangguan akibat perubahan iklim,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.
Tambah Adam Yii, penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak menerusi RUU berkenaan diyakini mampu memperkukuh jaminan makanan negeri selain memodenkan sektor tersebut melalui pembangunan industri agromakanan dan pertanian pintar.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pelaksanaan dasar dan peraturan di bawah RUU tersebut perlu dilaksanakan secara seimbang agar dapat membantu golongan petani tanpa membebankan mereka.
Beliau turut menekankan kepentingan melindungi petani kecil dan tradisional supaya kemajuan sektor pertanian dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.
Selain itu, beliau menggesa agar penglibatan golongan belia dalam bidang berkenaan dipertingkat melalui penggunaan teknologi moden seperti dron, kecerdasan buatan (AI) serta konsep agropreneurship.
Jelasnya, peluang pendidikan tinggi berkaitan pertanian juga perlu diperluaskan termasuk melalui program di bawah Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak.
“RUU ini adalah tentang mempersiapkan Sarawak untuk masa depan, membina negeri yang lebih kukuh, berdaya tahan dan berdikari demi generasi akan datang,” ujarnya.
Foto: Facebook YB Adam Yii




