KUANTAN – Rang Undang-undang (RUU) Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Negara pada 23 Mac lalu, sudah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk diperkenankan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penyerahan RUU itu kepada baginda sebelum ia diwartakan dalam Warta Kerajaan dan dikuatkuasakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Katanya, Akta Perkhidmatan Bomba terbaharu itu penting terutama dalam aspek pengurusan dan pengawalseliaan jabatan berkenaan.
“Pengurusan dan pengawalseliaan ini bagi Pasukan Bomba Sukarela, Pasukan Kadet Bomba, Pasukan Bomba Persendirian, Perunding dan Firma Perunding Keselamatan Kebakaran, Orang Kompeten dan Kontraktor Keselamatan Kebakaran.
“Selain itu, Penyedia Latihan Berdaftar dan Pengajar serta Kelengkapan Menentang Kebakaran atau Pepasangan Keselamatan Kebakaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2025 di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, Jalan Mahkota, hari ini.
Sambutan dirasmikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bertemakan ‘Bomba Tonggak Penyelamatan Negara’ turut diserikan dengan perarakan 34 kontinjen dan 50 jentera yang membabitkan 1,500 anggota JBPM, Pasukan Bomba Sukarela, Bomba Pelabuhan Kuantan, Pahang, Bomba Tentera Udara Diraja Malaysia, Petronas Petrochemical & Fire Services Response (CEFS).
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, KPKT menyanjungi jasa serta pengorbanan anggota JBPM dalam menjamin keselamatan rakyat dan negara tidak kira masa.
Beliau menghargai komitmen serta dedikasi ditonjolkan oleh pasukan bomba dalam setiap usaha menyelamatkan rakyat, memulihkan krisis tidak dijangka serta sentiasa memastikan negara kekal selamat.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga bomba, khususnya anggota bomba di Pahang di atas segala perkhidmatan serta bantuan yang dihulurkan.
“Tanpa pasukan bomba mungkin masalah yang kita hadapi pada musim tengkujuh, musim kering (kemarau) dan masalah lain pun mungkin agak sukar untuk kita selesaikan,” titah baginda.







