
DOHA – Qatar memaklumkan bahawa terdapat petanda dan suasana positif bagi memulakan rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza antara Israel dan Hamas.
Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari, bagaimanapun menegaskan bahawa penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza masih lagi tidak mencukupi dan menekankan bahawa ia tidak boleh dijadikan sebagai alat tawar-menawar.
“Terdapat suasana positif yang mungkin menggalakkan permulaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza. Harapannya agar rundingan itu dapat dimulakan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu sidang media di Doha pada Selasa.
Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar, pada awal Selasa berkata bahawa rundingan bagi fasa kedua perjanjian Gaza akan bermula minggu ini, menurut media Israel malah Israel juga akan menuntut pemusnahan sepenuhnya persenjataan di wilayah itu.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, telah memutuskan secara rasmi untuk memulakan perbincangan mengenai fasa kedua pada minggu hadapan, menurut Pihak Berkuasa Penyiaran Israel, KAN.
KAN melaporkan bahawa Netanyahu telah memaklumkan kepada Kabinet Keselamatan mengenai keputusannya untuk memulakan rundingan tersebut, lapor Anadolu.
Syarat Israel untuk meneruskan fasa kedua adalah peletakan senjata Gaza dan penyingkiran Hamas, menurut penyiar awam itu.
Israel juga berusaha untuk melanjutkan pembebasan tahanannya sebagai sebahagian daripada fasa pertama perjanjian, dengan tujuan untuk mendapatkan pembebasan lebih ramai tahanan.
Seorang sumber politik Israel tanpa nama berkata bahawa Netanyahu telah berjanji untuk membenarkan kemasukan rumah mudah alih dan peralatan kejuruteraan ke Gaza sebagai pertukaran bagi pembebasan enam tebusan Israel yang masih hidup serta empat mayat tahanan.
Hamas pada awal Selasa mengumumkan bahawa ia akan menyerahkan mayat empat tebusan pada Khamis dan membebaskan enam tebusan yang masih hidup pada Sabtu.
Menurut KAN, kabinet keselamatan mencadangkan peluasan fasa pertama perjanjian bagi membolehkan kemasukan rumah mudah alih dan jentera berat ke Gaza sebagai pertukaran untuk pembebasan enam tebusan Israel yang masih hidup.
Kabinet Keselamatan telah mengadakan mesyuarat pada petang Isnin, tetapi tiada kenyataan rasmi dikeluarkan.
Pada Ahad, Ismail Al-Thawabta, ketua pejabat media kerajaan Gaza, memberitahu Anadolu bahawa sehingga kini tiada rumah mudah alih atau peralatan berat yang diperlukan untuk pemulihan infrastruktur telah memasuki wilayah tersebut, sambil memberi amaran bahawa kelewatan ini semakin memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza.
Fasa pertama gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak 19 Januari, menghentikan perang Israel yang telah mengorbankan lebih 48,000 rakyat Palestin dan memusnahkan sebahagian besar infrastruktur Gaza.
Di bawah perjanjian itu, 19 tebusan Israel dan lima pekerja Thailand telah dibebaskan sebagai pertukaran untuk 1,135 tahanan Palestin.









