
KUCHING – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun selepas tular video berdurasi 33 saat memaparkan insiden pergaduhan di kawasan tepi jalan sekitar Jalan Patingan, Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Polis (ACP), Alexson Naga Chabu berkata, suspek dalam rakaman berkenaan dilihat menolak dan memarahi seorang lelaki lain yang juga warga tempatan berusia 57 tahun.
“Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu. Semakan juga menunjukkan suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000, manakala Seksyen 506 membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian ini agar menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Mancha Gubak di talian 013-5958260 atau mana-mana balai polis berdekatan.






