MALAYSIA merekodkan kerugian berjumlah RM1.224 bilion dari Januari hingga Oktober 2024 akibat jenayah dalam talian.
Menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, ini termasuk apa yang digabungkan sebagai online scam, jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman tidak wujud dan pelaburan tidak wujud.
Selain itu kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini juga hasil daripada tindakan termasuk penangkapan dan rampasan terhadap sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen atau ‘ah long’, di mana modus operandinya memberikan pinjaman wang dengan pantas tetapi menetapkan kadar riba atau faedah yang tinggi.
“Masalah dihadapi ialah kerana wujudnya peranan berbeza pemberi pinjaman wang, pemungut hutang, pegawai khidmat pelanggan, ejen pengeluar wang, pemilik akaun (mule account), ejen simbah cat dan ejen edar risalah dan banner.
“Tujuh buah premis syarikat pemberi pinjaman wang berlesen telah diserbu kerana melanggar Peraturan 15A (b) Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan & Pelesenan) (Pindaan) 2024.
“Sebanyak 136 kertas siasatan dibuka dan 25 kertas siasatan berjaya dituduh dengan pelbagai kesalahan. Penguatkuasaan ini mencakup pemberi pinjaman wang dan pemegang pajak gadai yang berlesen yang berdaftar di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” kata Anwar ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut beliau lagi, langkah-langkah diambil ini secara terselaras oleh PDRM, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bank Negara Malaysia (BNM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan KPKT.
“Langkah pencegahan yang saya rumuskan itu adalah di bawah Program Pencegahan Jenayah dan Kesedaran Awam serta penubuhan laman web Semak Mule.
“Laman web ini berjaya tapi kenyataan ini membimbangkan kerana sehingga 31 Oktober 2024, sebanyak 181,628 nombor telefon, 222,092 nombor akaun bank dan 1,395 nama syarikat direkodkan di dalam Semak Mule melibatkan penipuan jenayah dalam talian.
“Portal ini banyak membantu kerana dengan laporan, 32,066,000 carian telah dibuat dan 22,200,984 memberi jawapan positif, maknanya ada usaha memindahkan wang mereka kepada akaun mule tapi banyak terselamat kerana digerakkan, kerana kita gunakan portal Semak Mule menerusi https://semakmule.rmp.gov.my,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri memaklumkan bank perlu membayar balik mangsa scammer sekiranya dikenal pasti berlaku kecuaian oleh institusi terbabit sehingga menyebabkan berlakunya jenayah scam.
“Kalau dikenal pasti kecuaian (negligence bank), bank akan bayar umpamanya setakat ini mengikut Seksyen 413 KTJ, RM178,407 telahpun dipulangkan, maknanya ada.
“Tetapi seperti mana yang dikaitkan dengan undang-undang di UK, itu hanya jika dikenal pasti kecuaian pihak bank
atau bank tidak memantau mengikut peraturannya.
“Maka bank mesti juga bayar ganti rugi dan saya setuju bahawa prinsip itu juga diguna pakai di sini. Cuma mungkin dalam kajian yang dibuat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP).
“Kita akan juga kaji supaya diperketatkan agar pihak bank juga turut bertanggungjawab kalau didapati tidak benar-benar cermat dalam memantau dan memastikan peraturan dipatuhi,” jelas Anwar.








