PUTRAJAYA – Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, meningkat daripada penyusutan sepanjang minggu susulan perkembangan terbaharu di Asia Barat.
Mata wang itu menokok meskipun risiko geopolitik yang meningkat di Timur Tengah dan menjelang data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS dikeluarkan pada lewat malam ini yang boleh menentukan hala tuju kadar faedah negara berkenaan.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2155/2240 berbanding dolar AS daripada 4.2185/2250 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, konflik di Timur Tengah kekal sebagai faktor risiko utama di pasaran dengan harga minyak mentah Brent meningkat kepada AS$78.3 setong.
“Selain itu, pasaran sedang menunggu data NFP AS dikeluarkan lewat malam ini, yang dijangka mencatat 147,000 pekerjaan pada September daripada 142,000 pada bulan sebelumnya.
“Data pekerjaan yang kukuh bererti Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin melaksanakan pendekatan terukur untuk pelonggaran monetari,” katanya.
Pada penutupan dagangan, ringgit kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang utama, kecuali berbanding euro apabila meningkat kepada 4.6484/6578 daripada 4.6555/6627 semalam.
Ia lebih rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8779/8839 daripada 2.8711/8757dan susut berbanding pound Britain kepada 5.5505/5617 daripada 5.5330/5415.
Mata wang tempatan mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2489/2557 daripada 3.2523/2575 semasa ditutup semalam dan berbanding rupiah Indonesia kepada 272.1/272.9 daripada 273.4/273.9.







