
LEBIH 2,700 kanak-kanak Palestin berumur bawah 5 tahun disahkan mengalami malnutrisi akut di semenanjung Gaza yang terjejas teruk akibat sekatan berterusan tentera Zionis Israel.
Menurut kenyataan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), angka tersebut direkodkan pada hujung Mei lalu, sekali gus mencerminkan tahap krisis kemanusiaan yang semakin membimbangkan di wilayah berkenaan.
“Krisis ini telah mencapai tahap ’putus harapan’ yang belum pernah terjadi sebelum ini apabila rakyat terus kelaparan di seluruh Gaza,” kata UNRWA, lapor Anadolu.
Agensi itu turut mendedahkan bahawa hanya satu pusat kesihatan masih beroperasi sebahagian di utara Gaza, dengan stok bahan api yang semakin berkurangan.
“Keperluan untuk membuka semula akses kemanusiaan sangat mendesak,” katanya lagi.
Sejak Oktober tahun lalu, Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza walaupun menerima tekanan antarabangsa agar menghentikan operasi ketenteraannya. Serangan itu telah meragut hampir 55,000 nyawa penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Sejak awal Mac lalu, Israel menutup sepenuhnya semua lintasan sempadan Gaza kepada bantuan kemanusiaan, menyebabkan agensi bantuan memberi amaran tentang risiko kebuluran terhadap 2.4 juta penduduk wilayah itu.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan perbicaraan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan melakukan genosid terhadap penduduk Palestin.









