
PUTRAJAYA – Reformasi subsidi bukan untuk meminggirkan rakyat, tetapi untuk memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, di samping mengekalkan kestabilan fiskal negara.
Penganalisis ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Khairi Ismail berkata, perkara itu merupakan keseimbangan yang sukar, tetapi perlu kerana ekonomi sihat ialah asas kepada kesejahteraan jangka panjang seluruh rakyat Malaysia.
Secara asasnya, menurut beliau, subsidi adalah satu bentuk intervensi kerajaan dalam pasaran bagi mengurangkan harga barangan mahupun perkhidmatan penting supaya lebih mampu dibeli oleh rakyat.
“Langkah kerajaan menstruktur semula sistem subsidi, khususnya bagi bahan api dan barangan keperluan harian, menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pelbagai pihak. Subsidi tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut politik.
“Namun, mesti difahami melalui kanta ekonomi rasional. Subsidi bersasar ialah satu langkah ke arah pembaharuan fiskal yang lebih mampan, di mana setiap ringgit perbelanjaan awam membawa kesan maksimum kepada kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, subsidi telah lama menjadi sebahagian daripada ‘kontrak sosial ekonomi’ antara kerajaan dan rakyat di Malaysia dalam membantu menstabilkan kos sara hidup, mengawal inflasi, serta memberi ruang kepada isi rumah berpendapatan rendah untuk menikmati taraf hidup lebih baik.
Namun, dari kaca mata ekonomi, katanya, subsidi terlalu luas juga membawa kesan sampingan, apabila subsidi tidak disasarkan dengan baik yang menyebabkan ketirisan fiskal berlaku sehingga golongan berpendapatan tinggi turut menikmati manfaat diterima golongan miskin.

“Ini bukan sahaja menjejaskan keberkesanan dasar sosial, malah memberi tekanan besar kepada belanjawan negara. Menurut laporan Kementerian Kewangan, jumlah perbelanjaan subsidi dan bantuan sosial kerajaan mencecah hampir RM80 bilion pada tahun 2024 di mana ia merupakan angka yang sangat besar berbanding hasil negara.
“Jika trend itu berterusan tanpa penstrukturan semula, ruang fiskal negara akan semakin sempit untuk melaksanakan dasar pembangunan lain seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur. Justeru, kerajaan kini mengambil langkah reformasi subsidi bersasar
“Ia satu pendekatan yang menyalurkan bantuan terus kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan. Contohnya, pelaksanaan semakan semula subsidi diesel dan petrol RON95 yang diumumkan pada tahun ini bertujuan memastikan subsidi tidak lagi dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi atau pemilik kenderaan mewah,” katanya.
Tambahnya, penjimatan hasil daripada penstrukturan semula tersebut boleh digunakan untuk memperkukuh jaring keselamatan sosial, seperti bantuan tunai langsung dan program peningkatan kemahiran bagi golongan B40.
Sementara itu, beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM berpendapat, dengan pelaksanaan subsidi bersasar, kerajaan dapat menyalurkan bantuan tunai secara lebih tepat, sekali gus meningkatkan kecekapan agihan sumber.
“Walaupun begitu, perlu diakui bahawa dalam jangka pendek, golongan berpendapatan sederhana mungkin terasa kesannya. Peralihan daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi bersasar boleh meningkatkan kos pengangkutan dan harga barangan runcit.
“Kerajaan perlu memastikan adanya mekanisme kawalan harga dan bantuan sementara untuk mengurangkan kesan inflasi terhadap rakyat. Jika subsidi disusun semula dengan baik, negara dapat meningkatkan kecekapan fiskal, mengurangkan pembaziran, dan menggalakkan rakyat menyesuaikan corak penggunaan dengan lebih berhemat.
“Sebagai contoh, pengurangan subsidi bahan api dapat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, mengurangkan pelepasan karbon, dan menyokong matlamat Malaysia ke arah ekonomi hijau,” katanya.




