
BEIRUT – Jumlah kematian akibat serangan berterusan Israel ke atas Lubnan sejak tahun lalu telah meningkat kepada 2,350 orang dengan 10,906 yang lain cedera, manakala 1.34 juta penduduk kehilangan tempat tinggal sejak perang 23 September lalu, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Terbaharu, sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh dan 31 cedera dalam siri serangan udara berterusan di beberapa bandar dan wilayah di selatan dan timur Lubnan, menurut angka rasmi, lapor Anadolu.
Agensi berita rasmi Lubnan melaporkan bahawa serangan di selatan menyasarkan daerah Nabatieh, Bint Jbeil dan Marjaayoun, serta Tire dan Jezzine, manakala di timur Lubnan pula, serangan udara melibatkan daerah Zahle dan Bekaa Barat.
Serangan udara di selatan Lubnan
Di selatan Lubnan, serangan udara menyasarkan kawasan antara bandar Jibchit dan Aadchitin di daerah Nabatieh, menjejaskan bandar Toul, Sir El Gharbiyeh, Braikeh, Qsaybeh, Kfar Jouz, Habbouch dan Deir El Zahrani, di mana sebuah bangunan tiga tingkat telah musnah.
Di daerah Bint Jbeil, serangan menyasarkan bandar Safad El Battikh, Hanine, Ayta ash Shab, Kafra, At Tiri dan Yater, serta kawasan antara bandar Froun dan Ghandouriyeh.
Dalam pada itu, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan udara di bandar Srebbine mengakibatkan kematian lima orang, di daerah Marjaayoun pula, jet pejuang melakukan serangan ke atas bandar Khiama dan bandar Touline dengan kematian tiga orang direkodkan.
Selain itu, di daerah Tire, pesawat pejuang Israel telah membunuh 10 orang penduduk dan mencederakan lebih 15 yang lain, dalam serangan udara di bandar Qana, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Lubnan.
Serangan udara Israel di Tire turut menjejaskan bandar Qasmiyeh, Ain Baal, Aaita El Jabal, Majdal Zoun, Mansouri dan Mazraat Mechref malah pinggir bandar Biyyadah dan Naqoura di Tire turut terkena tembakan artileri Israel, manakala di daerah Jezzine, jet pejuang melanda bandar Mahmoudiyeh.
Serangan udara di utara Lubnan
Di daerah Zahle di timur Lubnan, lima orang, termasuk tiga kanak-kanak terbunuh, dan 16 yang lain cedera dalam serangan yang menyasarkan bandar Riyaq, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan.
Di daerah Bekaa Barat, peluru berpandu tidak meletup menyasarkan bangunan dua tingkat di bandar Sohmor dengan peluru berpandu yang mendarat di tengah-tengah struktur bangunan.
Susulan itu, pihak berkuasa tempatan segera menghalang penduduk daripada menghampiri bangunan itu sehingga ia selesai diperiksa dan peluru berpandu berjaya dilupuskan.




