Ramadan di lorong gelap: Abe Hae bawa ‘masjid’ terangi Lorong Haji Taib 

KUALA LUMPUR – Ramadan hampir melabuhkan tirainya namun siapa sangka di sebalik kegelapan Lorong Haji Taib yang terkenal sebagai lokasi kupu-kupu malam, berdirinya sekumpulan jemaah yang tekun menunaikan solat tarawih sebagai salah satu pelengkap ibadah di bulan Ramadan di saat yang lain terlena di dalam kemaksiatan.

Daripada 10 orang jemaah kepada lebih empat saf penuh, usaha seorang aktivis, Mohd Azhan Mohd Adnan, 57, atau lebih dikenali sebagai Abe Hae untuk menukar lorong maksiat kepada lorong cahaya, tampaknya sudah membuahkan hasil sedikit demi sedikit apabila penduduk di sana seolah-olah mula membuka hati terhadap cahaya kebenaran.

Bercerita kepada The Malaysia Press, Abe Hae yang juga pengasas kepada Pertubuhan Jejak Jalanan, tidak menyangka usahanya yang hanya mahu berkongsi rezeki dengan golongan asnaf dan gelandangan pada 2021, merubah wajah lorong gelap kepada lorong nyaman dengan alunan bacaan ayat suci al-Quran dan zikrullah. 

“Alhamdulillah daripada 10 orang jemaah pada permulaannya, kepada 25 hingga 30 jemaah tapak kedua iaitu sekitar Bangunan Raja Laut dan sekarang di sini, di tapak yang disewa selama sebulan daripada syarikat swasta, jemaah semakin bertambah dan lebih selesa.

“Sekarang di tapak baharu iaitu di kawasan parkir yang disewa khusus untuk bulan Ramadan, menjadi asbab saf jemaah semakin bertambah sehingga pada hari minggu terpaksa buka dua hingga tiga khemah tambahan lagi.

“Semuanya mungkin hikmah daripada kedudukan tapak yang terletak di tempat strategik, kawasan terbuka dan berada di tengah-tengah lorong sehingga laungan azan dapat didengari di setiap sudut, ditambah lagi dengan suara imam yang syahdu, berjaya membuka hati penduduk lorong untuk solat berjemaah di sini,” katanya.

Menurut Abe Hae, idea untuk membawa ‘masjid’ ke kawasan tersebut tidak pernah terlintas di fikirannya namun setelah mengetahui ramai kanak-kanak dan golongan dewasa di sana tidak menunaikan ibadah solat, dirinya terpanggil untuk berbuat demikian.

“Sebelum ini, Abe Hae bermula sekitar Julai 2021 dengan mengagihkan 100 pek makanan pada setiap Jumaat kepada golongan asnaf dan gelandangan di sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, daripada infak Jumaat kepada berbuka puasa dan solat tarawih bersama.

“Jadi Abe fikir, kita kena sentiasa fikir terbalik, bukan senang untuk kumpul dan bawa semua ahli keluarga ke masjid, jadi daripada menyewa bas, berapa kerat sahaja yang datang dan kos bas itu juga banyak jadi ada baiknya bawa ‘surau’ ke tempat mereka, solat dan beribadah boleh di mana-mana sahaja, dan alhamdulillah surau ini berjaya penuh setiap malam.

“Malah perubahan yang Abe nampak di lorong ini, orang yang kita tidak jangka akan datang solat bersama, tiba-tiba datang sendiri, dan mak-mak yang biasa tidak solat, juga datang solat bersama jadi rasa  macam ada  sedikit kejayaan dan harapan bahawa Nur Muhammad,  insya-Allah akan menerangi Lorong Haji Taib,” katanya.

Hidayah mulai terbit di hati penghuni lorong apabila kanak-kanak kecil yang tidak berdosa mula dekat dengan agama, mahu mengaji dan solat sekaligus menarik ibu bapa mereka untuk sama-sama mengerjakan ibadah di bulan Ramadan bersama Pertubuhan Jejak Jalanan.

“Apa yang paling Abe tidak jangka, orang yang tidak disangka-sangka akan datang solat bersama-sama disini, dia datang dan cakap dengan Abe, ‘saya banyak sangat dosa, adakah saya layak untuk solat?, saya tak berani nak solat’ dan dia mula solat.

“Bagi Abe, mereka yang datang solat di sini adalah mereka yang sangat penting dalam hidup Abe dan Abe akan beri banyak kelebihan buat mereka, di sini dari mula solat Maghrib hingga habis solat witir, tiada jemaah yang berganjak malah semakin bertambah adalah, ini merupakan satu kejayaan kecil buat Abe.

“Anak-anak yang selalu datang sini pula akan dilayan seperti anak sendiri, mereka dibawa berbelanja baju raya, golongan lelaki pula dibelikan kurta, manakala untuk wanita dewasa, sudah disediakan 200 pasang baju raya dan akan diagihkan pada akhir Ramadan nanti, malah Abe juga akan bagi duit raya lebih banyak kepada mereka yang solat penuh sepanjang Ramadan,” kongsinya.

Menurut seorang aktivis PJJ, Nor Azlina, 44, berkata, pada permulaannya ramai yang mempersoalkan tindakan mereka yang bersungguh-sungguh untuk memastikan warga lorong dapat solat jemaah bersama-sama. 

“Orang kata, kenapa sibuk-sibuk sewa tapak, pasang khemah? Khemah ini pun kami beli bukan dapat percuma, tapi tengok anak-anak dekat sini, seronok tak mereka? Daripada mereka bermain di tengah-tengah jalan sehingga kereta yang takut dekat mereka, kalau ada tempat yang elok macam ini, itu lebih baik.

“Sebab itu pendekatan Abe ialah, daripada bawa mereka ke masjid, lebih baik bawa masjid kepada mereka, selepas itu kita tunjukkan kepada mereka bagaimana yang sepatutnya, kena solat, dan akhirnya mereka sendiri yang datang untuk solat di sini tanpa dipaksa.

“Ia perlu dipupuk, bayangkan kami daripada 2021 hingga 2025, dan alhamdulillah, kami berjaya kumpulkan kelompok perempuan, wanita dewasa yang selalu tertanya-tanya dan teruja untuk menunaikan solat tarawih bersama-sama di sini, daripada 2023, kami sudah berjaya untuk capai matlamat, tarik golongan di sini untuk berubah sedikit demi sedikit.

“Golongan asnaf di sini bukan gelandangan tapi mereka tinggal di dalam bilik kecil yang hanya layak dipanggil ‘kubikel’ dan disewa dengan harga RM250 hingga RM450 bagi sebuah bilik yang bersaiz 8×8 kaki yang memuatkan hanya ibu, ayah dan seorang anak, niat kami hanya satu, jangan ada yang tak makan, kalau hari hujan, ada juga gelandangan yang beratur dalam keadaan basah kuyup demi dapatkan makanan,” katanya.

Salah seorang golongan asnaf di sini yang mesra dipanggil Kak Nor, 65, berkata, dirinya sentiasa teruja setiap kali tibanya Ramadan kerana tidak sabar untuk menunaikan solat tarawih berjemaah di sini.

“Rasa seronok, campur suka, campur duka sebab dah berapa tahun tinggalkan sembahyang dan puasa dan sekarang boleh buat segala-galanya, jadi rasa sukalah, dukanya ialah apabila teringatkan dosa-dosa lampau jadi saya rasa macam Tuhan dah buka pintu hati kita yang selama ini banyak dah tinggalkan suruhan-Nya, akhirnya apabila boleh buat balik, jadi seronok tu hanya Tuhan sahaja yang tahu.

“Kemudian dapat tarawih macam ini, lagi seronok, orang kata pada bulan Ramadan inilah pintu hati kita terbuka, sebab kita sebagai manusia ini tidak sempurna, jadi pada bulan Ramadan inilah masanya untuk kita nak minta segala-galanya.

“Kita manusia yang tak pernah sempurna, jadi Kak Nor dapat belajar agama ni semasa berada di dalam penjara di mana di sana, pada bulan Ramadan Kak Nor terbuka pintu hati untuk berpuasa, solat.

“Apabila kita solat, hanya Tuhan sahaja tahu, kita menangis-nangis, sebab tak sangka pintu hati kita boleh terbuka untuk solat, siapa yang tidak gembira apabila sudah dapat hidayah, belajar agama itu di mana-mana pun boleh, semuanya atas diri sendiri, dalam telefon pun boleh,” ujarnya.

Kak Nor merupakan seorang bekas banduan yang sudah tiga tahun mengikuti program pada bulan puasa bersama Pertubuhan Jejak Jalanan dan telah tinggal di Kuala Lumpur sejak berusia 16 tahun.

Related Posts

Semua pihak perlu junjung titah Agong perangi rasuah

TITAH Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menekankan keperluan tindakan tegas dan menyeluruh dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa perlu dijadikan panduan utama oleh semua pihak, kata Menteri Komunikasi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ahli Parlimen diingatkan jangan cetus ketegangan antara wilayah

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan Ahli Parlimen supaya tidak mengeluarkan kenyataan atau tindakan yang bersifat menghasut sehingga boleh mencetuskan ketegangan antara wilayah, sekali gus menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pihak berkuasa Thailand kenal pasti 3 suspek bom stesen minyak

Pihak berkuasa Thailand kenal pasti 3 suspek bom stesen minyak

Isu pindah tapak kuil Dewi Sri Pathrakaliamman selesai

Isu pindah tapak kuil Dewi Sri Pathrakaliamman selesai

Cemas ular tedung hitam ceroboh kediaman, APM bertindak pantas

Cemas ular tedung hitam ceroboh kediaman, APM bertindak pantas

Pemandu van Siam dihadapkan ke mahkamah kes langgar gadis hingga maut

Pemandu van Siam dihadapkan ke mahkamah kes langgar gadis hingga maut

Sarawak cadang AirBorneo jadi penerbangan rasmi Sukan SEA 2027

Sarawak cadang AirBorneo jadi penerbangan rasmi Sukan SEA 2027

Pindaan undang-undang bukti komitmen reformasi Kerajaan MADANI – Ahli Parlimen Miri

Pindaan undang-undang bukti komitmen reformasi Kerajaan MADANI – Ahli Parlimen Miri