
PENAMPANG – Sekiranya ada rakyat Malaysia yang merasakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 tidak besar atau tidak diperlukan, mereka digalakkan untuk menyalurkan kepada orang lain, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan SARA RM100 secara ‘one-off’ akan diberi kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.
Kata Fahmi, meskipun nilainya mungkin tidak besar namun bantuan ini sangat bermakna bagi mereka yang benar-benar memerlukan.
“Sebagai contoh, kalau mereka merasakan tidak perlu bantuan tersebut, mereka boleh gunakannya beli barangan keperluan dan menyedekahkannya kepada yang lebih memerlukan.
“Tapi kadang-kadang kita di negara sendiri, orang selalu anggap hujan emas di negeri orang, hujan batu negeri sendiri.
“Bagi sesetengah orang, dia merasakan RM100 ini tidak mencukupi,” katanya semasa berucap sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, Kementerian Komunikasi Zon Sabah di ITCC, di sini pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa sekiranya wang tersebut tidak digunakan ia akan dikembalikan secara automatik ke Kumpulan Wang Disatukan (KWD) pada 1 Januari 2026.
“Sekiranya mereka rasakan tak perlu langsung, tinggalkan duit itu dalam kad pengenalan, hujung tahun ia akan dikembalikan ke KWD,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, rata-rata rakyat menyambut baik pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan apabila semakin ramai meluahkan rasa syukur dan terima kasih di media sosial.
“Saya lihat dalam media sosial bila kita teliti ramai yang mengucapkan alhamdulillah, terima kasih menyatakan rasa bersyukur, setidak-tidaknya ada mendapat sesuatu.
“Dalam tempoh dua tahun setengah, kerajaan telah berusaha dengan begitu gigih dan pagi ini, ringgit pun semakin kuat, sekarang ini RM4.21 serta inflasi dan pengangguran pada tahap yang rendah,” katanya.

Sebagai rekod, pada majlis sama, seramai 70 orang penerima APC bagi Zon Sabah iaitu 41 orang dari Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan 24 orang dari Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).
Manakala, lima orang penerima lain terdiri daripada Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) iaitu seramai tiga orang, seorang daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan seorang lagi daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).







