LAHAD DATU – Pembukaan Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom di Kawasan Konservasi Lembah Danum merupakan bukti komitmen Kerajaan Sabah terhadap usaha pemuliharaan dan penyelidikan biodiversiti di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penubuhan pusat ini melalui peruntukan RM5.6 juta daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar di bawah Rancangan Malaysia ke-12 adalah sejajar dengan teras utama Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemuliharaan sumber asli demi kesejahteraan jangka panjang rakyat dan generasi akan datang.
“Ini membuktikan bahawa pemulihan hutan boleh berjaya jika kita mempunyai visi dan komitmen, dan Sabah telah pun berjaya melaksanakannya,” katanya.

Teks ucapan perasmiannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya di Lembah Danum Lahad Datu, pada Selasa.
Dalam pada itu, Hajiji berharap agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk menyalurkan lebih banyak sokongan khususnya dalam bentuk pembiayaan berterusan menerusi Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) serta dalam Rancangan Malaysia ke-13 akan datang.
Menurut Hajiji, pusat ini juga sangat sesuai untuk mendidik generasi muda melalui program pendidikan alam sekitar seperti yang dilaksanakan Kelab Pencinta Alam Sabah.
Justeru, beliau mengalu-alukan inisiatif Kelab Pencinta Alam Sabah di bawah seliaan Kumpulan Yayasan Sabah untuk memilih beberapa sekolah di Lahad Datu sebagai sekolah angkat di bawah program mereka.
“Saya percaya langkah ini akan membuka peluang kepada generasi muda untuk memahami dan menghargai pemuliharaan alam sekitar sejak dari usia awal,” katanya.
Hajiji turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Sabah akan terus melaksanakan program pembangunan yang bercirikan kelestarian hijau dengan mengutamakan penggunaan dan pengurusan sumber asli secara bertanggungjawab serta memastikan perlindungan alam sekitar, kesejahteraan sosial dan pertumbuhan ekonomi untuk generasi akan datang.
“Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli, penyelidikan mengenai pengurusan dan pemuliharaan sumber ini adalah sangat penting.
“Ini termasuk penyelidikan bagaimana sumber ini dapat dimanfaatkan secara lestari untuk kepentingan rakyat dan negara serta kesannya kepada alam sekitar,” jelasnya.
Beliau turut memuji pencapaian cemerlang Yayasan Sabah dalam mengurus dan memelihara Kawasan Konservasi Lembah Danum dan kawasan lain sepertinya sejak sekian lama.
“Kumpulan Yayasan Sabah memainkan peranan penting dalam menjaga kawasan konservasi hutan simpan perlindungan dan hutan simpan yang dilindungi sepenuhnya (Totally Protected Area) yang begitu berharga ini.
“Yayasan Sabah turut mengangkat nama Sabah ke persada antarabangsa misalnya dalam pengurusan kawasan konservasi yang telus, berintegriti dan berwawasan,” ujarnya.
Untuk rekod, stesen berkenaan merupakan inisiatif Yayasan Sabah dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri bagi mewujudkan persekitaran penyelidikan yang kondusif di samping memastikan pengurusan hutan secara lestari.
Stesen penyelidikan yang ditubuhkan di dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua, di bawah Jawatankuasa Pengurusan Jabatan Perhutanan Sabah bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu terletak di antara kawasan projek Face The Future, Netherlands (INFAPRO) dan Pusat Pembelajaran Lembah Danum.





