Projek tukun tiruan usaha pulihara ekosistem marin Lawas

LAWAS – Sebanyak 64 unit tukun tiruan jenis rekreasi dilabuhkan di perairan Punang dan Awat-Awat, di sini, sebagai usaha memulihara sumber perikanan, melindungi ekosistem marin serta menghalang pencerobohan aktiviti pukat tunda.

Majlis pelancaran disempurnakan Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong, yang menegaskan komuniti nelayan merupakan kumpulan sasar penting kerajaan dalam memastikan bekalan makanan laut negara kekal mencukupi.

“Dengan usaha nelayan, rakyat khususnya di Lawas dapat menikmati bekalan ikan segar sebagai sumber protein, selain menjana pendapatan kepada isi rumah tempatan,” katanya ketika berucap di Kampung Punang, semalam.

Pada majlis itu, seramai 19 penternak ikan sangkar air payau di Lawas menerima bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur bernilai RM283,000 di bawah Projek Pemodenan dan Kelestarian Pembangunan Komuniti Akuakultur Marin Sarawak.

Bantuan tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan RM7 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi pembangunan akuakultur air payau di Sarawak. Tahun ini sahaja, RM1.98 juta diperuntukkan untuk manfaat 44 penternak di seluruh negeri, termasuk Lawas.

Selain itu, 20 Ketua Jaringan Perikanan (KJP) turut menerima peralatan elektronik dan pelayaran (GPS) melalui Program Pembangunan Modal Insan Kumpulan Sasar Perikanan. Daripada peruntukan RM2.3 juta program tersebut, lebih RM460,000 diagihkan untuk pembelian handheld GPS dan Personal Locator Beacon (PLB) bagi meningkatkan keselamatan nelayan di laut.

Henry memaklumkan, sejak RMK12, Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) menerima RM20 juta untuk projek pembangunan dan pengurusan sumber perikanan melalui tukun tiruan, termasuk RM3.7 juta pada tahun ini.

Sejak 1991, lima jenis tukun telah dilabuhkan di perairan Lawas antaranya 11,018 unit tukun tayar, 200 unit tukun bebola, satu unit tukun vesel, 57 unit tukun konkrit dasar lembut dan 80 unit tukun konkrit penghalang pukat tunda. Secara keseluruhan, 202,049 unit tukun pelbagai jenis telah dilabuhkan di seluruh Sarawak sejak 1984.

“Tukun tiruan ini bukan sekadar struktur konkrit di dasar laut, malah menjadi simbol komitmen kita memulihara habitat marin, menggalakkan perikanan lestari serta merancakkan ekonomi komuniti pesisir melalui pelancongan memancing dan rekreasi laut,” katanya.

Beliau menyeru agar semua pihak – agensi kerajaan, komuniti nelayan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat – berganding bahu menjaga dan memantau kawasan tersebut secara berhemah.

“Saya yakin, dengan kerjasama erat dan rasa tanggungjawab bersama, tukun-tukun ini akan menjadi habitat subur, meningkatkan hasil laut dan memberi manfaat kepada ekonomi tempatan,” tegasnya.

Related Posts

PRN Johor tunggu perkenan Sultan Ibrahim, UMNO hormati Institusi Diraja

JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim serta Tunku…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kecemerlangan holistik jadi teras pendidikan pelajar Johor

PAGOH – Kecemerlangan pendidikan tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan pembangunan insaniah dan pembentukan karakter pelajar. Perkara itu disampaikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam Majlis…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRN Johor tunggu perkenan Sultan Ibrahim, UMNO hormati Institusi Diraja

PRN Johor tunggu perkenan Sultan Ibrahim, UMNO hormati Institusi Diraja

Kecemerlangan holistik jadi teras pendidikan pelajar Johor

Kecemerlangan holistik jadi teras pendidikan pelajar Johor

Perpaduan bukan sekadar retorik politik, tetapi tanggungjawab menjamin kestabilan negara

Perpaduan bukan sekadar retorik politik, tetapi tanggungjawab menjamin kestabilan negara

Remaja 14 tahun lemas ketika mandi di Rainforest Waterfall

Remaja 14 tahun lemas ketika mandi di Rainforest Waterfall

IPGM beri jaminan siasatan buli telus, tidak kompromi pelanggaran disiplin

IPGM beri jaminan siasatan buli telus, tidak kompromi pelanggaran disiplin

Pas tidak kreatif, tiru slogan UMNO

Pas tidak kreatif, tiru slogan UMNO