
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya projek perumahan rakyat yang baharu dibina di atas atau berhampiran stesen pengangkutan awam sebagai langkah untuk menggalakkan penggunaan kemudahan tersebut secara menyeluruh.
Menurut Anwar, konsep pembangunan perumahan sebegini bukan sahaja dapat menyediakan kediaman yang lebih strategik kepada golongan berpendapatan rendah, malah membuka jalan ke arah gaya hidup bandar yang lebih mampan dan tersusun.
“Ada cadangan untuk membangunkan perumahan di atas stesen pengangkutan awam itu sendiri, namun ia memerlukan pindaan undang-undang tertentu yang sedang diusahakan.
“Sebagai contoh, projek Kota MADANI menekankan penyediaan kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat, termasuk pembangunan secara vertikal,” ujar beliau ketika berucap dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 6 yang berlangsung di Menara Prasarana, malam tadi.
Forum tersebut dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan membincangkan topik “Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam”.
Antara ahli panel yang terlibat termasuklah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah; serta Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pendekatan melalui platform wacana seperti forum ini penting untuk memastikan dasar kerajaan digubal dengan mengambil kira suara pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pakar industri, penyokong kerajaan serta pembangkang.
“Saya menghargai keterbukaan ahli panel yang membuat teguran halus serta cadangan. Saya tidak menganggapnya sebagai kritikan negatif. Sebaliknya, saya ambil maklum perkara tersebut, mencatatnya dalam nota, dan akan membawanya ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok,” tambah beliau.
Sementara itu, Anthony Loke ketika mengulas cadangan Perdana Menteri berkenaan pembangunan perumahan berdekatan pengangkutan awam, menyatakan bahawa langkah tersebut memerlukan perubahan besar dari segi dasar dan paradigma perancangan bandar.
Menurut beliau, pembangunan perumahan yang mempunyai akses langsung kepada pengangkutan awam dapat menggalakkan mobiliti rakyat dan memudahkan pemilikan rumah secara strategik.
“Salah satu perkara yang sedang dibincangkan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ialah penyediaan garis panduan bagi projek perumahan seperti apartmen yang terletak berhampiran stesen pengangkutan awam.
“Ini termasuk pengurangan keperluan tempat letak kereta kerana penghuni mempunyai akses yang baik kepada pengangkutan awam,” jelas beliau.
Langkah ini diyakini mampu mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap kenderaan persendirian dan sekali gus menyumbang kepada kelestarian bandar secara keseluruhan.




