
ROBAN – Satu sesi Dialog Pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik melalui skim Connection Charges Government Fund Assistance (CCGFA) telah diadakan di Rumah Rimbu Guntor, Tinting Balai Nyumpit (TBN), Sungai Engkabang, Roban, pada Rabu.
Majlis tersebut dianjurkan bagi memberi penerangan serta penjelasan berhubung pelaksanaan projek bekalan elektrik luar bandar kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohammad Duri berkata, pelaksanaan projek bekalan elektrik melalui skim CCGFA merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat luar bandar terus dipertingkat.
“Kerajaan Sarawak sentiasa komited untuk memastikan setiap kawasan luar bandar menikmati kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan capaian komunikasi”.
“Projek melalui skim CCGFA ini adalah antara usaha berterusan untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Menurut beliau, Pusat Khidmat DUN Kalaka akan membantu proses penyambungan bekalan elektrik ke Rumah Rimbu Guntor, Tinting Balai Nyumpit (TBN) dengan kos caj sambungan berjumlah RM22,810.00, manakala kerja pendawaian dalaman melibatkan kos RM26,280.00.
“Alhamdulillah, kerja-kerja pemasangan ini dijangka akan dimulakan dalam tempoh terdekat dan saya berharap ia dapat disiapkan dengan lancar demi keselesaan penduduk,” tambahnya.
Dalam sesi dialog dan soal jawab, wakil Sarawak Energy Berhad (SEB) serta Kementerian Utiliti dan Komunikasi (MUT) telah menjawab pelbagai pertanyaan yang dikemukakan oleh Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berkaitan penyambungan bekalan elektrik, bekalan air serta capaian internet dan telefon.
Turut hadir Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas; Kaunselor Kasdi Pandi, Penghulu Bundan, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua agensi serta tuai-tuai rumah dari kawasan DUN Kalaka.
Foto: FB ADUN Kalaka







