
PUTRAJAYA – UMNO berpendirian untuk menghormati keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun namun terus menyokong Kerajaan Perpaduan di negeri itu.
Isu tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO yang berlangsung semalam.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO telah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berhubung perkara berkenaan.
Menurutnya, tindakan ADUN itu diambil kerana sikap Menteri Besar membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
“UMNO memandang serius perkembangan mutakhir melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan sehingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius dalam kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
“Antara ketetapan lain dibincangkan adalah satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan harus diadakan bagi merungkai beberapa isu melibatkan prinsip perjuangan parti masing-masing.
“Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam Membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sebelum ini, 14 ADUN BN Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dipimpin Aminuddin.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat susulan krisis membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.
Asyraf Wajdi menjelaskan, UMNO berpegang teguh kepada asas perlembagaan parti itu menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan Negara.







