KEMAMAN – Aktiviti luar bilik darjah merupakan instrumen berkesan dalam membina jati diri kukuh dan semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar sekolah.
Penolong kanan kokurikulum SK Seri Iman Kemaman, Fariza Mohammad berkata, aktiviti luar bilik darjah yang diseimbangkan dengan pembelajaran akademik mampu melahirkan pelajar yang memiliki kemahiran insaniah unggul selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup bulan kemerdekaan peringkat sekolah dan komuniti hari ini.

Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Penerangan Daerah Kemaman (JAPEN Kemaman), Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Kemaman, PIBG SK Seri Iman serta komuniti Kampung Gong Limau.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti perarakan basikal berhias kemerdekaan, pertandingan busana kemerdekaan serta perarakan oleh pelajar, guru dan komuniti setempat.





