
PUTRAJAYA – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sekali lagi berdepan ancaman apabila kapal Alma yang membawa sukarelawan Malaysia menjadi sasaran serangan dron ketika berlabuh di perairan Tunisia, malam Selasa.
Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di akaun Thread miliknya pagi ini.
Bagaimanapun katanya, semua individu yang berada di atas kapal telah dikenal pasti dan tiada kematian mahupun kecederaan berlaku.
“Terkini! Bot saya, Iylia dan Sul pula menjadi sasaran dron malam ini (waktu tempatan) ketika berlabuh di Tunisia.
“Alhamdulillah tiada kecederaan dilaporkan,” tulis beliau ringkas.

Difahamkan serangan berlaku kira-kira pukul 11.21 malam (waktu tempatan) dan menyebabkan kebakaran serta kerosakan pada kapal berkenaan, namun semua kru dan sukarelawan selamat.
Seorang lagi sukarelawan dikenali sebagai Cosme dalam rakaman video di Facebook Media Alkhair Malaysia berkata, kejadian bermula ketika beliau memulakan syif malam sebelum terdengar bunyi mencurigakan.
“Dron itu jatuh di bahagian atas dek kapal dengan bahan mudah terbakar. Suasana menjadi kecoh tetapi kami segera memadamkan api dan semua orang selamat,” ujarnya.
Insiden itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan delegasi Malaysia yang menyertai misi flotilla berkenaan.
Terdahulu, salah satu kapal utama flotilla dikenali sebagai Family Boat yang membawa ahli jawatankuasa pemandu misi, turut menjadi sasaran serangan dron di perairan Tunisia.
Serangan itu menyebabkan kerosakan pada dek utama dan ruang simpanan, namun kesemua penumpang dilaporkan selamat.








