JAKARTA – Prabowo Subianto akan mengangkat sumpah hari ini sebagai Presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia, Indonesia.
Pemimpin berusia 73 tahun itu akan mengangkat sumpah di Parlimen sebelum menuju ke Istana Presiden, di mana Joko Widodo akan menyerahkan tampuk pemerintahannya selepas sedekad memegang kuasa.
Ini berlaku selepas kemenangan besar dalam pusingan pertama pilihan raya Februari lalu, yang menurut pengkritik dibantu Jokowi.
Sebelum ini, Jokowi didakwa menggunakan sumber negara untuk membantu Prabowo dan Timbalannya ketika itu yang juga anak sulung kepada Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, 37 tahun.
Keselamatan di seluruh ibu kota Jakarta dipertingkatkan menjelang majlis angkat sumpah, dengan sekitar 100,000 anggota polis dan tentera dikerah, termasuk pasukan rusuhan, unit penembak tepat dan pasukan anti-dron.
Langkah keselamatan itu diambil kerana Prabowo dijangka akan diarak di sepanjang jalan Jakarta antara Parlimen dan istana.
Puluhan ribu orang dijangka membanjiri jalanan ketika beliau menjadi pemimpin Indonesia kelapan selepas negara itu mencapai kemerdekaan tahun pada 1945.
Beberapa pemimpin negara dijangka hadir majlis angkat sumpah, dengan kebanyakannya adalah ahli politik serantau.






