
KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan bahawa proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan berjalan lancar dan tidak akan bertindih dengan jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula pada 25 November depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, semua aspek termasuk kemudahan logistik telah diambil kira bagi memastikan perjalanan pilihan raya di seluruh negeri berlangsung dengan teratur dan selamat.
“Kita sudah mengambil kira semua kemudahan logistik dan tidak akan berlaku sebarang pertindihan tempat antara lokasi pengundian dengan mana-mana tempat peperiksaan diadakan.
“Proses pengundian juga akan diadakan pada hari Sabtu, jadi insya-Allah ia tidak akan mengganggu mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sidang media pengumuman tarikh-tarikh penting PRN17 Sabah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah (KPKPS) di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata buat masa ini SPR belum membuat keputusan mengenai sebarang kemudahan khas bagi membolehkan pengundi Sabah di luar negeri menunaikan tanggungjawab mereka tanpa perlu pulang ke Sabah.
“Buat masa ini keputusan berhubung perkara sebegitu masih belum diputuskan oleh SPR.
“Pengundi-pengundi rakyat Sabah yang berada di luar Sabah perlu balik ke sini untuk mengundi,” katanya ketika menjawab soalan media mengenai cadangan undi pos untuk para pengundi Sabah di luar negeri.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa sebarang kekosongan kerusi Parlimen yang berlaku sebelum tempoh pembubaran rasmi perlu ditentukan terlebih dahulu oleh Speaker Dewan Rakyat.
“Keputusan untuk menentukan sesuatu kerusi itu kosong atau tidak adalah di bawah bidang kuasa Speaker Parlimen.
“Jika berlakunya kekosongan, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh notis diterima daripada Speaker,” katanya.
Ramlan turut berkata bahawa sebarang keputusan berhubung pelaksanaan pilihan raya selepas tempoh matang kerajaan sedia ada akan ditentukan mengikut ketetapan undang-undang dan peraturan SPR.
“Walaupun tempoh Kerajaan MADANI sudah sampai tempoh matang tiga tahun, keputusan berhubung perkara itu akan diputuskan oleh SPR,” jelasnya menjawab pertanyaan media sama ada pilihan raya kecil perlu diadakan atau tidak.







