
KOTA KINABALU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau dan mengawal kandungan di media sosial sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi memastikan kempen politik yang dijalankan di platform digital mematuhi undang-undang sedia ada dan tidak menyebarkan kandungan berunsur fitnah atau mengelirukan rakyat.
“Kita percaya PRN17 Sabah kali ini juga akan berlangsung dalam media sosial.
“Kita akan wujudkan satu pasukan khas (special task force) bersama SPR bagi menyelaras penguatkuasaan sepanjang tempoh pilihan raya.
“Penguatkuasaan beberapa perkara adalah di bawah bidang kuasa SPR, namun pihak MCMC sedia membantu memastikan sebarang kandungan yang melanggar undang-undang dapat diambil tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata selepas menghadiri Sesi Libat Urus NADI & Pelantikan Panel Penasihat NADI Sabah di Nadi Bandar Putra, pada Khamis.
Sementara itu, Fahmi berkata, panel penasihat yang dilantik akan berperanan membantu menasihati Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memastikan pusat tersebut dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh oleh komuniti setempat.
Katanya lagi, berdasarkan aduan yang diterima kebanyakan pengguna aktif NADI datang daripada komuniti yang tinggal dalam lingkungan satu hingga dua kilometer dari lokasi pusat berkenaan manakala mereka yang berada lebih jauh kurang berpeluang memanfaatkannya.
“Disebabkan dalam Belanjawan telah disebut bahawa MCMC akan membelanjakan RM350 juta bagi menguruskan semua 1,099 NADI di seluruh negara maka untuk memantapkan operasi.
“Saya telah arahkan supaya satu jawatankuasa panel penasihat dibentuk bagi membantu NADI dengan komuniti yang berada di luar lingkungan satu hingga dua kilometer,” jelasnya.
Tambah beliau, inisiatif itu juga diharap dapat memperluas penyampaian mesej berhubung keselamatan dalam talian kepada masyarakat khususnya melalui kempen Internet Selamat yang sedang giat dijalankan oleh MCMC.
“Setakat September 2025 MCMC telah menjelajah lebih 3,800 institusi pendidikan dan mengadakan siri ceramah, syarahan, pendidikan dan memberi mesej kepada terutama pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah bahawa internet itu selamat digunakan kalau kita sentiasa berwaspada.
“Mesej utama yang kita sampaikan bawah umur 13 tahun, jangan main media sosial,” ujarnya.







