
GUA MUSANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan sasaran 60 peratus bagi jumlah orang keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Dun Nenggiri yang akan berlangsung pada esok hari.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak turut berharap agar para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat untuk mengundi.
“Saya harap pengundi akan semak dahulu sebab ada pusat mengundi tutup lebih awal khususnya pos Orang Asli ada yang tutup pada pukul 2 dan 3 petang.
“Para pengundi juga diingatkan supaya membawa kelengkapan maklumat mengundi seperti kad pengenalan bagi memudah dan melancarkan proses pengundian berlangsung,” katanya ketika ditemui selepas hadir penghantaran peti undi kepada dua pos Orang Asli, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan keputusan bagi proses kira undi itu akan selesai pada jam 9 malam.
“Kita berharap keadaan cuaca pada hari penggundian juga berada dalam keadaan baik selain kawalan keselamtan akan dikawal dengan baik oleh pihak terlibat bagi menjaga keselamatan pengundi yang keluar mengundi,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, enam daripada 20 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang akan diadakan Sabtu ini, akan ditutup lebih awal.
Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bagi notis PRK itu, empat daripada pusat mengundi itu akan ditutup pada pukul 2 petang, iaitu Sekolah Kebangsaan Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, Sekolah Kebangsaan Sri Permai dan Sekolah Kebangsaan Kuala Sungai.
Dua lagi pusat mengundi akan ditutup pada pukul 3 petang, iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan Sekolah Kebangsaan Pulat.