
BIARPUN sudah berkali-kali menunaikan tanggungjawab mengundi, namun bagi dua sahabat, keterujaan itu tetap ada.
R Latha, 49, dan sahabat baiknya, K Khavitha, 47, berkata, sejak pertama kali layak mengundi ketika usia 21 tahun, mereka akan mengundi bersama di pusat mengundi yang sama.
“Kami adalah sahabat baik. Walaupun sudah banyak kali mengundi, tetapi perasaan dan keterujaan itu berlainan.
“Dari muda sehingga sekarang, kami berdua akan datang mengundi bersama,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Mengundi SJKC Pheng Lok, Ayer Kuning, Tapah pada Sabtu.
Manakala bagi pasangan suami isteri, Chai Ko Chong, 85, dan Loy Mooi Ying, 82, mereka yang tinggal di Kuala Lumpur, sudah seminggu balik ke sini untuk mengundi.

“Kami tinggal di Kuala Lumpur dan sudah seminggu balik ke sini untuk melaksanakan tanggungjawab,” kata Ko Chong.
Hari ini merupakan hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 April adalah tarikh hari mengundi bagi PRK DUN Ayer Kuning.
Menurut sumber SPR, pengundi paling tertua di Pusat Mengundi SJKC Pheng Lok adalah berusia 106 tahun.
Tinjauan wartawan The Malaysia Press (TMP) mendapati, cuaca yang mendung pada awalnya kini semakin cerah.
Pusat Mengundi SJKC Pheng Lok, Ayer Kuning, terdapat dua saluran sahaja dengan jumlah daftar pemilih seramai 1,072 orang.




