
ADA orang ‘berbisik’ kepada saya bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos nanti merupakan ujian getir kepada calon Barisan Nasional (BN) – Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
Peristiwa itu berlaku baru-baru ini ketika saya melakukan tinjauan ke DUN itu dan cuba melihatnya secara empirikal berkenaan masa depan penduduk di kawasan tersebut.
Yang bercakap kepada saya itu lelaki bekerja sendiri. Daripada perwatakannya dia pro-PN.
Katanya dengan sinis, Ketua Pemuda UMNO itu yang juga membawa jenama Kerajaan Perpaduan akan berhadapan kesukaran, kononnya, DUN Nenggiri sudah menjadi kubu kuat Pas.
Dia cukup yakin bahawa calon Perikatan Nasional (PN) – Mohd Rizwadi Ismail akan memenangi PRK nanti, bukan setakat mengekalkan kerusi Bersatu, bahkan mendapat majoriti lebih besar.
Keyakinan itu disandarkannya kepada ucapan Tan Sri Annuar Musa tempoh hari dan ketiadaan DAP membantu kempen BN.
Ketiadaan DAP itu, katanya, suatu petanda kerjasama BN dan PH tidak kukuh.
Sambil meneguk kopi dan menghembuskan asap nikotin, lelaki itu yang baru beberapa ketika sahaja saya kenal namun sudah berani berbicara secara polos mengharapkan Mohd Azmawi Fikri tidak menyesal bertanding.
Jelas sekali dia cuba memprovokasi saya!
Terdetik di hati saya, itu peluang baik untuk saya membasuh akal budi lelaki berkenaan dengan cara yang tidak terfikirkannya.
Setelah meminta dia tunggu seketika di warung kopi itu, saya katakan bahawa selaku orang luar yang datang memerhati keadaan di DUN Nenggiri, saya dapati yang sedang diuji sebenarnya bukanlah Mohd Azmawi Fikri.
Terperanjat besar lelaki berusia lewat 50-an itu sehinggakan dia dan dua rakan semeja kopinya dia seketika.
Mereka memandang saya dan seorang rakan dengan pandangan tajam dan suspens (penuh tanda tanya).
Itulah sebenarnya yang saya mahu!
Tanpa menunggu lama, saya katakan kepada mereka bahawa ketiadaan DAP di Nenggiri bukan isu besar sebaliknya itu sangat menjejaskan modal kempen PN.
Perkara paling penting sekarang kata saya, yang sedang diuji itu sebenarnya dia dan rakan-rakannya serta puluhan ribu penduduk Nenggiri terutama yang layak mengundi kali ini!
Saya kata kepada mereka, Mohd Azmawi Fikri tidak rugi apa jika kalah. BN juga begitu, bahkan Kerajaan Perpaduan langsung tidak terjejas.
Yang terjejas, penduduk DUN Nenggiri khasnya, dan rakyat Kelantan, amnya.
Saya katakan kepada mereka lagi, sebenarnya penduduk DUN Nenggiri sedang diuji oleh Allah SWT – sanggup atau tidak mengubah nasib mereka sendiri.
“Peringatan Allah SWT berkaitan mengubah nasib oleh sesuatu kaum itu ada dalam Al-Quran, Surah Ar-Ra’d, Ayat 11. Saudara dan rakan-rakan saudara balik dan kajilah maksud dan inti patinya,” kata saya dengan tegas tetapi sopan.
Tanpa bercakap lebih panjang, saya tinggal mereka setelah membayar harga makanan dan minuman.
Saya percaya mereka sedang berfikir dan menganalisis mengikut logik!