JAKARTA – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai delegasi kerajaan Sarawak ke Jakarta bagi menghadiri pra-mesyuarat sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Republik Indonesia serta Rundingan Tahunan Malaysia–Indonesia ke-13, pada Isnin.
Beliau bersama-sama rombongan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma pada jam 11.17 pagi waktu tempatan sebelum meneruskan perjalanan ke Hotel Indonesia Kempinski, Jakarta.
Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki.
Sepanjang lawatan rasmi ini, Premier Sarawak dijadual menyertai Perdana Menteri dalam beberapa program penting termasuk sesi pertemuan bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Indonesia serta Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia–Indonesia (ISWAMI).
Beliau juga akan mengiringi Perdana Menteri dalam pertemuan empat mata bersama Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka pada Selasa.
Lawatan rasmi itu turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama kesihatan antara Menteri Luar Malaysia dan Menteri Kesihatan Republik Indonesia.
Delegasi kedua-dua negara turut dijadual mengadakan mesyuarat rasmi dalam sesi Rundingan Tahunan ke-13 yang menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Indonesia meliputi pelbagai sektor strategik.
Premier Sarawak juga dijadual menyertai delegasi Malaysia dalam lawatan ke Sekretariat ASEAN di Jakarta, yang melibatkan beberapa acara rasmi termasuk upacara penanaman pokok, sesi bergambar sempena Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025, majlis menandatangani buku tetamu serta penyerahan lukisan sebagai simbolik komitmen terhadap kerjasama serantau.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)






