PUTRAJAYA – Permainan politik ekstrem dalam masyarakat majmuk dan berbilang agama tidak seharusnya ditaasubkan oleh mana-mana pihak hingga menjejaskan perpaduan dicapai ketika negara mendapat kemerdekaan.
Berdasarkan tinjauan The Malaysia Press, rata-rata masyarakat berpendapat
penjajaran pemikiran baharu harus dicipta agar menjadi “game changer” dengan tidak mengulangi pemikiran kuno yang terus memenjarakan rakyat.
Pelajar, Muhammad Daniel Suhairosmadi, 16, berkata, sikap toleransi dalam bermasyarakat dan mengambil jalan sederhana ketika berpolitik merupakan asas bagi memastikan Malaysia mampu menjadi negara contoh kepada dunia dalam pelbagai aspek, khasnya dari sudut kepelbagaian kaum dan agama.

“Keupayaan untuk meletakkan noktah kepada isu perkauman dan agama yang sempit lagi ekstrem sifatnya memerlukan iltizam politik yang tinggi daripada kepimpinan politik untuk duduk semeja mencari titik kebersamaan.
“Biarlah anak-anak Malaysia ini dalam jangka waktu sedekad akan merasakan Malaysia adalah milik kita bersama tidak kira apapun kaum dan reda jasad serta roh kita disemadikan di tanah tercinta ini.
“Keunikan perpaduan ini perlu dijaga kerana tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang mampu mencapai apa yang telah kita capai ketika mencapai kemerdekaan. Tolong hentikan permainan naratif sebegini,” katanya ketika ditemui pusat membeli belah di sini, hari ini.
Dalam pada itu, bagi seorang anak muda,
Farish Mirza Mahathir, 19, melahirkan kekecewaan apabila sentimen agama dan kaum dimainkan secara meluas sehingga mewujudkan persepsi rasis di kalangan masyarakat berbilang kaum.

Sehubungan itu, beliau yang mengambil jurusan diploma teknologi penyejukan dan penyaman udara, Kolej Vokasional Sepang mengharapkan tiada lagi pimpinan politik yang mempertaruhkan isu kaum dan agama sempit lagi ekstrem sebagai talian hayat mereka demi kepentingan peribadi.
“Pemikiran begini perlu hentikan kerana kalau kita berpecah belah, kemungkinan kita boleh bergaduh sehingga akan menimbulkan akan ada mana-mana kaum yang mahu claim (Malaysia) negara mereka.
“Jadi, tak kisah, Melayu, Cina atau India, kita perlu hidup bersatu padu. Hormatilah antara satu sama lain. Kena ambil tindakan tegas namun jika dipandang sebelah mata, kita (pelbagai kaum) akan berperang antara satu sama lain,” katanya.
Bagi seorang lagi pelajar, Ahmad Afeef Danial Mohd Ashikin, 16, berkata, pemikiran ekstrem harus dihapuskan, berikutan pelbagai pihak harus menyedari tradisi, adat dan budaya sudah tertanam dalam struktur sosial masyarakat tertentu di Malaysia.

“Pimpinan utama parti-parti politik tidak kira kerajaan atau pembangkang bersedia terlebih dahulu untuk berubah kepada paradigma baru daripada aspek pemikiran, gagasan serta wawasan yang lebih segar dan kontemporari sifatnya.
“Jangan lagi jadikan isu 3R (Raja, Agama, Kaum) sebagai naratif utama daripada ahli politik. Janganlah disebabkan mahu sokongan masyarakat orang Melayu, sangguh mengadaikan perpaduan demi cita-cita peribadi.
“Kita tidak mahu lagi peristiwa hitam 13 Mei 1969 berulang lagi di negara ini. Tak kisahlah Melayu ke, Cina atau India, kita rakyat Malaysia, bukan menjadi warganegara dengan mengikut kaum,” katanya.




