PUTRAJAYA – Kerajaan Timor-Leste telah memberikan tanah seluas 6,000 meter persegi kepada Malaysia untuk pembinaan kedutaan besar Malaysia di Dili.
Timbalan Pedana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut berterima kasih kepada kerajaan Timor-Leste kerana hubungan bilateral di antara dua negara Asean ini dilihat berhasil.
“Apa yang telah kami bicarakan menyentuh beberapa aspek… yang saya ingin kongsikan terutamanya mengenai hubungan bilateral di antara Timor-Leste dan Malaysia.
“Kami berterima kasih kepada pemerintah Timor-Leste kerana tanah seluas 6,000 meter persegi telah diberikan kepada pemerintah Malaysia untuk dibangunkan gedung kedutaan besar Malaysia di Dili.
“Dengan itu, kami mengucapkan berbanyak terima kasih,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga menyentuh soal perdagangan dan pelaburan di mana kerajaan juga mengucapkan selamat, syabas kepada Timor-Leste kerana menjadi anggota dalam World Trade Organisation (WTO).
Katanya, ini adalah satu perkara bagi Malaysia yang memudahkan Timor-Leste untuk memperluaskan soal perniagaan, perdagangan di seluruh dunia dan Malaysia jua sudi untuk membantu.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut membicarakan tentang kapasiti pembangunan dan pendidikan.
Katanya menerusi pendidikan, Malaysia menawarkan 50 tempat kepada pelajar dari Timor Leste untuk belajar ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Kuala Lumpur dan ini ditawarkan secara ‘free places immediately’.
“Begitu juga, kita menawarkan untuk lepasan ‘secondary school universe’ bagi mendapatkan training untuk pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sistem di mana di Malaysia mempunyai 1,345 institut TVET dan kita boleh tawarkan tempat untuk pelajar dari Timor-Leste,” katanya.
Disamping itu, untuk pembangunan kawasan desa, Malaysia akan berkongsi pengalaman dan akan mengundang, bukan berjumpa dengan ketua-ketua suku yang ada di sana untuk memasuki institusi kepimpinan di Malaysia.
“Bagi kita berkongsi pengalaman untuk memajukan di kawasan pendesaan melalui sistem dan juga ekosistem yang sedia ada,” jelasnya.




