
TAWAU – Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau menyita lima motosikal serta menahan dua pemandu mabuk di Jalan Chong Thien Vun menerusi Op Mabuk di sini, pada Ahad.
Menurut siaran yang dimuat naik di Facebook rasmi Polis Daerah Tawau, sebanyak 15 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut.
“Antara kesalahan yang dilakukan iaitu tiada cermin sisi, tidak mempamerkan pelekat L/P dan tiada nombor pendaftaran bagi motosikal, tidak menggunakan tali pinggang keledar, mengubahsuai ekzos, tiada insuran dan lain-lain kesalahan bagi motokar.
“Seramai lima orang pemandu telah diuji bagi saringan pernafasan untuk kandungan alkohol menggunakan SDII namun hanya dua yang positif dan dibawa ke pejabat BSPT bagi ujian lanjut menggunakan alat EBAII (’Evidential Analyzer’).
“Dalam pada itu, empat penunggang lelaki berusia 16 hingga 40 tahun dan lima motosikal disita kerana tidak memiliki lesen memandu yang sah,” kata kenyataan itu.
Justeru itu, orang ramai khususnya ibu bapa dinasihatkan memantau aktiviti anak-anak dan tidak membenarkan mereka mengendalikan apa-apa kenderaan jika tidak memiliki lesen memandu.