
SARATOK – Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok berjaya menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes kecurian lampu dan panel solar di Pantai Tanjung Kembang, Kabong.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Maggie berkata, kejayaan itu hasil tindakan pantas pasukan JSJ IPD Saratok yang menahan suspek berusia 41 tahun pada 4 Oktober 2025.
Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku pada 3 Oktober lalu kira-kira jam 11.30 malam, apabila pengadu, Asrol Hussaini, 25, tiba di rumah burung walit miliknya dan ternampak seorang lelaki dikenali sedang melarikan diri dengan menaiki motosikal.
“Hasil pemeriksaan mendapati satu unit lampu solar jenama MASTER 60W bersama panel solar bernilai kira-kira RM300 telah hilang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, hasil soal siasat dan pandu arah suspek pada 5 Oktober, polis menemukan semula lampu dan panel solar yang disembunyikan di tepi rumah kediaman suspek di Kabong.
“Suspek turut mengaku mencuri barangan berkenaan dengan tujuan menjualnya bagi mendapatkan bekalan dadah untuk kegunaan sendiri,” jelas beliau.
Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan ujian air kencingnya turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.




