KOTA KINABALU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan dan pemindahan minyak diesel tanpa permit dalam serbuan di Jalan Nountun, Inanam pada Ahad.
Serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang itu hasil maklumat risikan, membawa kepada penahanan lima lelaki yang berusia antara 29 hingga 67 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyimpanan bahan kawalan tanpa dokumen atau permit yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurut Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim, pemeriksaan di lokasi mendapati sebuah lori tanker berwarna hijau dan putih sedang mengisi minyak dari skid tank ke dalam tangki lori berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen kebenaran atau permit yang sah bagi pemilikan dan pemindahan bahan kawalan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.

Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM503,245.
“Antara rampasan yang dilakukan dalam serbuan tersebut termasuk sebuah lori tanker 20 tan jenama Nissan berwarna hijau dan putih, sebuah lori kotak dua tan jenama Toyota warna putih, sebuah van jenama Toyota Hiace berwarna putih, sebuah Toyota Hilux ‘single cab’ warna putih.
“Sebuah kereta Dmax ‘double cab’ warna kelabu, sebuah tangki skid tank warna silver tangki berkapasiti 20,000 liter dan 13,500 liter minyak diesel,” katanya.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan tanpa permit yang sah.




