JOHOR BAHRU- Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2024 di negeri ini terus menunjukkan keputusan membanggakan apabila mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Negeri iaitu 2.95.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, keputusan itu sekaligus mengatasi PNGK Kebangsaan iaitu 2.85.
Menurut beliau, seramai 170 daripada 3,952 calon STPM 2024 Johor memperoleh PNGK 4.0 manakala 2,512 calon pula mencapai PNGK 2.75 ke atas.
“Tujuh calon mendapat keputusan 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil dan 167 calon mendapat keputusan 4A.
“Seramai 3,857 calon hadir menduduki peperiksaan dengan peratusan kelulusan 77.91 peratus berbanding 75.71 peratus pada tahun 2023,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aznan berkata, seramai 3,472 calon merupakan pelajar yang mengambil aliran sains sosial manakala 385 calon aliran sains tulen.




